Jose Mourinho berkata beliau berniat untuk memainkan peranan penting mengenai visi pengerusi kelab, Daniel Levy, untuk Tottenham.

Pengendali kelahiran Portugal itu mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih Spurs, 20 November lalu -- sehari selepas Mauricio Pochettino dipecat -- dan telah mengubah nasib pasukan itu.

Spurs telah mengatasi West Ham dan Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta bangkit daripada ketinggalan dua jaringan untuk mengatasi Olympiacos 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Sesetengah pihak mempercayai Mourinho akan kekal di London Utara untuk jangka masa panjang tetapi bekas pengurus Manchester United itu menegaskan beliau mahu melabur terhadap pelan yang diketengahkan Levy untuk kelab itu.

"Levy memiliki visi buat Spurs," katanya. "Beliau telah memulakan perancangan ini sejak sedekad lalu dan saya sebahagian daripada proses ini.

"Saya mahu mengambil bahagian dalam visi dan cita-cita itu. Jurulatih kepada skuad utama mampu memiliki pengaruh dalam proses itu dan ia merupakan tugas saya.

"Sebagai jurulatih, saya perlu mengambil bahagian dalam beberapa bahagian dan di mana kelab mampu berkembang."

Mourinho kembali ke Old Trafford buat pertama kali sejak dipecat penghujung tahun lalu dan kali ini bertindak selaku pengurus pasukan lawan.

Beliau menjelaskan tidak berdendam dengan keputusan untuk memecatnya dan telah melakukan yang terbaik sepanjang dua setengah tahun bersama juara EPL 20 kali itu, di mana beliau menjuarai Piala EFL dan Liga Europa.

"Anda menang atau belajar, anda tidak tewas," jelasnya. "Saya berasakan setiap masa bersama United adalah baik kerana saya berusaha untuk memenangi sesuatu. Saya mempelajari sesuatu.

"Daripada pengalaman saya, perkara paling penting selepas anda dipecat, anda tidak menyalahkan sesiapa. Anda perlu cuba untuk memahami mengapa dan membuat persediaan bagi masa depan dengan menilai apa yang berlaku sebelum ini."