Jose Mourinho menegaskan pemergian Mohamed Salah dari Chelsea pada 2016 adalah pilihan kelab, bukan disebabkannya.

Salah dalam bentuk sensasi sejak menyertai Liverpool selepas berhijrah dengan nilai £36.9 juta dari AS Roma pada Jun 2017 apabila menjaringkan 43 gol dalam semua pertandingan untuk membantu Reds mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan dinobatkan Anugerah Pemain PFA tahun ini.

Pemain sayap Mesir itu hanya membuat 19 penampilan selama dua setengah tahun bersama Chelsea sebelum dipinjamkan ke Fiorentina, kemudiannya ke AS Roma pada Ogos 2016.

Mourinho, yang kini mengendalikan Manchester United, mendedahkan tindakan itu dilakukan Chelsea dan mendedahkan ketika itu bekas pemain Basel berkenaan belum bersedia untuk mengharungi kancah Liga Perdana.

"Ini adalah kali pertama yang saya bercakap tentang hal ini, namun adalah tidak adil menuding saya. Ramai mengatakan bahawa saya adalah salah seorang yang menjual Salah, sebaliknya saya yang membeli Salah," katanya kepada ESPN Brasil.

"Saya merupakan salah seorang yang memutuskan untuk membeli Salah, saya adalah salah seorang yang memberitahu Chelsea untuk membeli Salah, saya antara orang yang bertanggungjawab untuk membawa Salah datang ke Chelsea tetapi dia datang sebagai seorang pemain muda, secara fizikal dan mental dia tidak bersedia, hubungan sosial dan budayanya hilang, semuanya sukar buatnya.

"Kami membuat keputusan untuk meminjamkannya kerana dia juga menuntut untuk menjadi matang. Dia mahu pergi dan kami menghantarnya ke Fiorentina dan di sanalah dia mula matang. Chelsea yang memutuskan untuk menjual dia, OK?

"Dan apabila mereka mengatakan bahawa saya adalah orang bertanggungjawab, ia adalah satu pembohongan. Saya membelinya, saya bersetuju untuk menghantarnya secara pinjaman kerana saya fikir ia perlu, saya fikir Chelsea mempunyai pemain sayap lain seperti Willian, (Eden) Hazard dan semua pemain yang berada di tahap yang berbeza.

"Jadi keputusan untuk menghantarnya secara pinjaman adalah keputusan yang dibuat secara kolektif tetapi selepas itu, keputusan untuk menjualnya dan menggunakan wang itu untuk membeli pemain lain bukanlah di tangan saya.

"Walaupun dalam bola sepak kita sering melakukan kesilapan, ramai pemain berkembang bukanlah seperti yang kita tidak harapkan. Sesetengah yang lain tidak mencapai tahap lain seperti yang diramalkan.

"Jadi, saya tidak fikir ini adalah kesilapan, ia hanya sebahagian daripada pekerjaan.

"Begitupun saya berjaya membeli Salah, saya tidak menjual Salah tetapi itu tidak penting.

"Apa yang penting adalah dia seorang pemain yang hebat dan saya sangat gembira dengan segala yang berlaku kepadanya. Terutama kerana dia menjaringkan gol ke atas semua pasukan dan dia tidak dapat melakukannya ketika bertemu kami dua perlawanan."