Mourinho puji pemain muda, stadium Spurs

Oleh Staff Writer 21 November 2019 903
Mourinho puji pemain muda, stadium Spurs
Jose Mourinho terlalu gembira untuk menggantikan Mauricio Pochettino ketika dia sedang bersedia untuk membimbing Tottenham Hotpsur di "stadium terbaik dunia".

Bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu dilantik sebagai jurulatih baru Spurs semalam untuk menamatkan persoalan selepas 12 jam Pochettino dipecat.

Selepas dipecat gara-gara mengkritik kerana tidak mendapat sumber-sumber yang sepatutnya ketika di Old Trafford, pengurus berusia 57 tahun itu memulakan ucapannya dengan mesra mengenai kedudukan Spurs yang sedang berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.

"Saya tidak mungkin lebih gembira berbanding ketika ini dan saya tidak akan segembira ini jika tidak berada di sini," katanya dalam satu temu bual Spurs TV.

"Apa yang boleh saya janjikan? Kesungguhan dalam kerjaya dan kesungguhan buat kelab saya.

"Ia satu keistimewaan untuk seorang pengurus menyertai satu kelab dan berasa kebahagiaan dalam hubungannya dengan skuad yang akan dibimbingnya.

"Ia bukan sekadar kata-kata ketika ini. Ia bukan kata-kata disebabkan saya menjadi ketua jurulatih Tottenham, ia adalah apa yang saya sering katakan dalam tiga, empat, lima tahun lalu -- walaupun sebagai pihak lawan.

"Saya sering katakan tentang potensi kelab ini, saya sering katakan tentang kualiti pemain dan saya sering katakan tentang kerja-kerja hebat yang sedang dilakukan kelab," katanya.

Keengganannya untuk menggunakan bakat muda sedia ada sering menjadi kritikan buat Mourinho sepanjang kariernya.

Bagaimanapun, dia berasakan sistem pembangunan Spurs, yang telah menghasilkan pemain-pemain utama seperti Harry Kane dan Harry Winks, akan membantu dalam menyediakan keperluannya.

"Saya amat menggemari skuad yang dipenuhi pemain muda seperti ini, tiada pengurus di dunia ini yang tidak gemar menggunakan pemain muda dan membantu mereka berkembang.

"Masalahnya, adakalanya anda berada di kelab yang sistem pembangunannya tidak cukup bagus untuk menghasilkan pemain-pemain seperti ini.

"Berdasarkan sejarah, akademi kelab ini sentiasa menghasilkan bakat-bakat muda yang diperlukan pasukan utama.

"Saya sudah tidak sabar untuk bekerja dengan pemain-pemain itu," katanya.

Mourinho akan berdepan West Ham dan seteru lamanya, Manuel Pellegrini, dalam tugasan pertamanya hujung minggu ini sebelum melayani kunjungan Olympiacos dan Bournemouth di Stadium Tottenham Hotspur -- perlawanan yang tidak sabar untuk dinantikannya.

"Jika anda katakan ia stadium yang cantik, anda terlalu merendah diri.

"Anda perlu katakan ia stadium terbaik di dunia.

"Saya fikir itulah realitinya. Padang latihan juga sama.

"Ia mungkin boleh dibandingkan dengan padang latihan bola sepak Amerika.

"Anda tidak dapat membandingkannya dengan bola sepak di Eropah dan saya pernah pergi hampir ke semua yang terbaik di dunia.

"Amat mustahil untuk membandingkannya dengan apa-apa. Stadiumnya juga begitu.

"Saya fikir ia sesuatu yang membuatkan kita berasa amat-amat bangga," tambahnya.

Mengenai kedudukan Spurs ketika ini, Mourinho menambah: "Dalam Liga Perdana, kami sedar kedudukan kami dan kami tahu bahawa kami tidak sepatutnya berada di situ.

"Kami hanya perlu menghadapinya daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Kami mahu memenangi perlawanan berikutnya dan begitulah seterusnya sehingga ke penamat.

"Pada penghujung musim, kami akan melihat di mana kedudukan kami tetapi saya tahu kami pasti berada di kedudukan yang berbeza berbanding ketika ini," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen