MANCHESTER UNITED 2 ARSENAL 1

Jose Mourinho mengakui Manchester United barangkali tidak berhak merakamkan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, biarpun gembira mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL).


United menjamin kelompok empat teratas dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal menerusi tandukan Marouane Fellaini, sekali gus meletakkan pasukan Arsene Wengeritu tergelincir ke tangga keenam dalam kunjungan terakhirnya ke Old Trafford sebagai pengendali The Gunners.

Wenger membariskan pasukan tidak berpengalaman dalam usaha melindungi pemain bintangnya menjelang aksi separuh akhir Liga Europa dengan Atletico Madrid pada pertengahan minggu ini, sambil Konstantinos Mavropanos dan Ainsley Maitland-Niles masing-masing menyinar di bahagian pertahanan dan tengah.

Mourinho menyatakan kurangnya tekanan yang dihadapi pemain Arsenal menyumbang kepada prestasi positif anak buah Wenger tetapi pengurus Portugis itu berpuas hati dengan cara pasukannya memberi respons kepada kecederaan Romelu Lukaku pada awal babak kedua.

"Saya fikir jika perlawanan ini seri, ia tidak akan dikatakan tidak adil," kata Mourinho kepada Sky Sports. "Saya fikir mereka menampilkan permainan yang baik, tiada tekanan terhadap mereka, namun mereka bertahan dengan baik -- kedua-dua pemain muda mereka beraksi sangat baik.

"Sudah tentu, kami adalah pasukan yang cuba untuk menang, mencipta lebih banyak peluang dan cuba menang dalam tempoh 20 hingga 25 minit terakhir tetapi biasalah, mereka beraksi positif tetapi kami lebih mantap dalam 20 minit terakhir.

"Kami mengubah pendekatan kami dan lebih lebar dengan kemasukan (Anthony) Martial dan membawa Marouane masuk untuk mengimbangi kehilangan Lukaku.

"Kami membunuh keraguan untuk ke UCL, kami berada di kedudukan empat teratas tetapi kami masih memerlukan empat mata lagi bagi menjamin tempat kedua.

"Saya sedar mereka akan menembusi gawang kami, biasanya 1-1 adalah hasil yang baik untuk mereka dan tanpa Lukaku, mereka lebih selesa untuk menjejaskan rentak kami kerana pemain muda Greece, (Mavropanos) dan (Calum) Chambers tahu mereka mampu mengekang Marcus (Rashford) di udara, jadi kami memerlukan kehadiran penyerang kedua.

"Marouane menjaringkan gol cantik dan akhirnya secara matematik kami melayakkan diri ke Liga Juara-Juara," katanya lagi.

Sebelum sepak mula, bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson, menyampaikan cenderahati kepada Wenger sebagai tanda kunjungan terakhirnya ke Old Trafford sebagai pengurus Arsenal.

Mourinho turut memeluk pengurus itu yang pernah digelarnya "voyeur" dan "pakar dalam kegagalan", biarpun pengurus Portugis itu cuba mengelakkan daripada menyertai sesi bergambar di antara Ferguson dan Wenger.