Mourinho: Pengadil perlu buat keputusan penggunaan VAR 

Oleh Staff Writer 18 Februari 2018 3109
Mourinho: Pengadil perlu buat keputusan penggunaan VAR 
HUDDERSFIELD 0 MANCHESTER UNITED 2

Jose Mourinho berkata pengadil perlu mempunyai kata sepakat mengenai pelaksanaan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam bola sepak selepas insiden kontroversi dalam kemenangan  Manchester United ke atas Huddersfield Town dalam Piala FA, awal pagi tadi.


United melangkah ke suku akhir untuk menempah pertemuan dengan Brighton & Hove Albion di Old Trafford selepas Romelu Lukaku membantu kemenangan 2-0 di Stadium John Smith itu. 

Insiden beberapa saat menuju rehat itu menjadi topik hangat pertembungan ini apabila gol Juan Mata dibatalkan kerana ofsaid selepas ia dirujuk VAR sungguhpun terdapat percanggahan pandangan mengenai keputusan berkenaan. 

Mourinho, yang pada masa itu menyaksikan pasukannya mendahului 1-0, menegaskan dia berpihak kepada VAR demi membuat keputusan penting, namun berasakan pengadil harus menjelaskan sama ada teknologi itu perlu diketengahkan secara meluas.

"Ia perasaan yang luar biasa apabila kebenaran hadir tetapi timbul masalah seperti apa yang berlaku hari ini," katanya dalam sidang akhbar.

"Protokol mengatakan ia perlu menjadi keadaan yang 'nyata dan jelas' dan ia tidak nyata dan jelas, namun kami tahu ia dalam percubaan dan saya bercakap selepas kemenangan 2-0.

"Saya fikir pengadillah yang sepatutnya membuat keputusan, adakah mereka mahukannya, adakah mereka berasa gembira dengannya dan adakah mereka mahukan bantuan teknologi atau mereka mahu hidup dengan kesilapan yang mereka buat sebagai manusia?"

Mourinho kemudian berseloroh atas keengganannya untuk membantah keputusan yang sepatutnya memihak pasukannya demi mengawal tingkah lakunya seperti yang dia pernah menyatakannya sebelum permulaan musim ini.

"Saya hampir memenangi anugerah pengurus terbaik musim ini, tidak ada apa yang boleh membuat saya kehilangannya musim ini," katanya.

"Saya gembira berada dalam suku akhir, saya gembira dapat memenangi perlawanan selepas tewas. 

"Perlawanan ini sukar kerana mereka (lawan) menunjukkan permainan berbeza daripada sebelum ini kerana mereka tidak perlu mendapatkan mata untuk liga. Mereka memberi ancaman, berbahaya, mendorong kami untuk melakukan kerja pertahanan yang baik," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen