Jose Mourinho berasakan perasaannya terhadap bekas pasukannya, Chelsea, semakin pudar dari tahun ke tahun menjelang kunjungan barisan bimbingan Antonio Conte itu ke Manchester United, malam esok.

Mourinho bertanggungjawab dalam dua era kelab itu serta merupakan pengurus paling berjaya dalam sejarah The Blues menerusi lapan kejayaan trofi.

Tempoh terakhir beliau di Stamford Bridge berakhir pada Disember 2015 berikutan permulaan huru-hara dalam misi mempertahankan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebelum akhirnya membuka jalan untuknya menyertai United pada bulan Mei berikutnya.

Percakaran di antara Mourinho dan Chelsea mengundang banyak perhatian selepas dia turut berbalah dengan Antonio Conte.

Selepas pengurus United itu mengungkit kes mengatur perlawanan awal kerjaya rakan sejawatannya itu -- pengurus Itali itu kemudiannya bebas daripada tuduhan tersebut -- lalu mendorong Conte bertindak balas dengan mendakwa Mourinho sebagai "lelaki kerdil" dan "palsu".

Bersikap berhati-hati untuk tidak membangkitkan isu yang boleh menimbulkan ketegangan, dua hari sebelum perlawanan di Old Trafford itu, Mourinho enggan menekankan kepentingan pertemuan ini.

"Saya tidak mahu bercakap mengenainya, tidak sama sekali," kata Mourinho mengenai perbalahannya dengan Conte sebelum ini.

"Pengurus yang sangat baik, pasukan yang hebat dan itulah yang penting bagi saya, itu sahaja."

"Perasaan saya terhadap Chelsea semakin berkurangan saban tahun. Sudah tentu, saya sudah meninggalkan mereka beberapa tahun lalu dan musim depan akan menjadi tiga tahun, kemudian empat tahun.

"Perlahan-lahan saya sudah lupa saya pernah menjadi pengurus Chelsea, maka makna sebenar perlawanan ini adalah pertemuan dua kelab besar dalam satu lagi perlawanan."

Sungguhpun hubungannya dengan kakitangan kejurulatihan dan peminat Chelsea keruh ketika ini, hubungan Mourinho dengan ahli lembaga kelab itu masih utuh.

Dia berkata: "Saya mempunyai hubungan baik dengan ahli lembaga pengarah, saya tidak lupa betapa baiknya mereka dalam tempoh yang sukar ketika ayah saya meninggal dunia.

"Mereka membuktikan bahawa mereka melihat saya sebagai kawan, sebagai orang yang memberikan yang terbaik dan menghormati kelab, jadi hubungan saya dengan lembaga pengarah sentiasa baik.

"Dengan pemain, saya tidak mempunyai sebarang masalah atauapa-apa kekesalan. Tiada masalah sama sekali dan peminat adalah peminat. Saya memahami mereka, hubungan ini akan kekal selama-lamanya.

"Ketika saya di Stamford Bridge, hanya sebilangan kecil peminat yang membuat bantahan," ujarnya.