Jose Mourinho kekal "komited sepenuhnya" kepada Manchester United dan Red Devils "sangat gembira" dengan pengurus Portugis berkenaan yang kurang bernasib baik, kata ejennya, Jorge Mendes.

Mourinho berdepan tekanan baru susulan keputusan seri 2-2 dengan Arsenal di tempat sendiri yang melebarkan rekod tanpa kemenangan mereka dalam Liga Perdana kepada empat perlawanan.

United menduduki tangga kelapan liga sebelum perlawanan menentang Fulham hari ini dan mereka berada 18 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Skuad bimbingan Mourinho itu menduduki tangga kedua di belakang jiran, City, pada musim lalu, namun kelayakan Liga Juara-Juara tampak menjadi sasaran yang lebih realistik untuk musim 2018-19.

Bagaimanapun, pengurus Portugis itu mencadangkan ia memerlukan "keajaiban" untuk United menamatkan saingan di tangga empat teratas setelah memiliki jurang lapan mata dengan pasukan di tanggan keempat, Chelsea.

Mendes, bagaimanapun, mendakwa tiada masalah di antara United dan Mourinho sambil menegaskan pengurus itu akan kekal di Old Trafford pada masa depan di sebalik laporan baru-baru ini yang mengaitkannya akan kembali ke Real Madrid.

"Wujud banyak khabar angin tentang Jose Mourinho akan meninggalkan Manchester United, ia tidak benar sama sekali," kata Mendes dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Omnisport.

"Jose sangat gembira di kelab itu dan kelab itu sangat gembira dengannya. Dia mempunyai kontrak jangka panjang dengan Manchester United dan komited sepenuhnya kepada kelab itu dalam membina projek juara yang mantap."

Mourinho kini berada dalam musim ketiga di Old Trafford dan pada Januari lalu, dia menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama United hingga 2020, dengan pilihan melanjutkannya setahun lagi.

Bagaimanapun, kariernya di Chelsea di antara Julai 2004 sehingga September 2007, merupakan satu-satunya tempoh paling lama dia kekal dalam pengurusan sesebuah kelab.