WEST HAM 0 MAN UNITED 0

Jose Mourinho akur beliau tidak berpuas hati dengan jaminan Manchester United mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kedua.


Seri tanpa jaringan dengan West Ham, United tidak terkejar oleh Liverpool dalam saingan liga walaupun mengalami kekalahan 1-0 kepada Brighton and Hove Albion minggu lalu.

United ketinggalan 19 mata di belakang Manchester City -- yang turut menjuarai Piala EFL -- dan Mourinho berasakan pasukannya mampu mempamerkan aksi yang lebih baik bagi musim ini.

"Kami adalah pasukan kedua terbaik dalam EPL. Kejohanan yang sangat hebat dengan banyak pasukan yang berkualiti, enam pasukan berusaha merebut gelaran," kata Mourinho.

"United mengakhiri saingan di tempat kedua. Saya tidak gembira sepenuhnya. Tetapi apabila mengetahui ia adalah mustahil untuk meraih tempat pertama dan sasaran kami adalah memastikan kami meraih keputusan yang diinginkan.

"Ketika bertemu Brighton, saya memberitahu kepada pemain-pemain bahawa kami tewas dalam separuh masa tetapi akan memenangi perlawanan ini.

"Saya silap tetapi kami mempamerkan persembahan yang positif. Pada minit ke-80, kami menyedari bahawa ia sudah memadai dan kami memilih untuk melepaskan perlawanan itu."

Dengan tangga kedua sudah diraih, Mourinho meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan ke atas Watford dalam aksi terakhir pada Ahad ini.

"Kami meletakkan sasaran untuk mengakhiri musim ini dengan mengumpul lebih daripada 80 mata.

"Michael Carrick akan tampil sebagai kapten di Old Trafford dalam perlawanan terakhirnya.

"David de Gea akan direhatkan, saya akan memberikan peluang kepada Sergio Romero."

Bekas pengendali United, David Moyes, berpuas hati dengan gaya permainan West Ham walaupun kelab telahpun memastikan objektif utama diraih dengan memastikan kekal dalam saingan EPL.

"Satu mata diraih berdepan Manchester United adalah keputusan yang amat positif," kata Moyes.

"Pemain-pemain bermain dengan baik. Kami mahu menang tetapi satu mata sudah memadai."