Mourinho impikan karier seperti Wenger 

Oleh Staff Writer 29 April 2018 1150
Mourinho impikan karier seperti Wenger 
Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, percaya dia boleh menyamai karier pengurus Arsenal, Arsene Wenger, untuk terus terlibat dalam bola sepak dalam lingkungan usia 60-an atau lebih.

Wenger akan meninggalkan Arsenal pada akhir musim ini selepas memegang peranan itu hampir 22 tahun biarpun pengurus kelahiran Perancis itu mendakwa akan mendapatkan jawatan lain di Eropah.

Mourinho kesal berbalah dengan Wenger beberapa kali menjelang kunjungan terakhirnya ke Old Trafford hari ini. 

Pengurus Portugis berusia 55 tahun itu menganggap Wenger sebagai rujukannya ketika dia menceburi bidang pengurusan.

"Pastinya, mengapa tidak?" Mourinho memberitahu pemberita apabila ditanya sama ada dia mampu menandingi umur panjang Wenger.

"Ini adalah satu pekerjaan sekiranya pengalaman anda lebih baik, anda perlu mengekalkan tahap motivasi. Saya percaya sehingga saat pengurus memutuskan dia sudah puas dan tidak mahu meneruskannya lagi, selagi itu anda masih boleh menjadi lebih baik dan lebih baik.

"Contohnya, lihatlah Jupp Heynckes (jurulatih berusia 72 tahun di Bayern Munich). Dia sudah bersara, sedang meluangkan masa dengan cucu atau perkara seumpamanya dan tiba-tiba dia kembali ke bola sepak dan dia lebih baik daripada sebelum ini.

"Saya fikir anda boleh terus memperbaiki pekerjaan ini selagi anda meraih beberapa kejayaan. Kadang-kadang orang mengatakan cukuplah tetapi sehingga saat ini, saya fikir ini adalah jenis pekerjaan di mana pengalaman menjadikan anda lebih baik," hujahnya.

Wenger masih belum mengesahkan perancangan masa depannya, namun Mourinho menjangka pengurus Arsenal itu akan ditawarkan kontrak lain tidak lama lagi dengan beralih ke Liga Super China seperti yang dilaporkan.

"Saya tidak fikir Arsene akan menamatkan kerjaya kejurulatihannya," kata Mourinho. "Setakat yang saya tahu, dia hanya berakhir di Arsenal.

"Saya yakin peminat Manchester United akan mengenang saat Arsenal menjadi pesaing terbesar mereka dan saya akan ingat Arsene sebagai seteru rapat, pengurus 'Invincibles'. Ketika itu ia adalah tahun pertama saya di negara ini.

"Sebaik tiba pada tahun 2004, ketika itu Arsenal baru saja memenangi gelaran tanpa kalah. Saya mengatakan bahawa label 'Invincibles' membuatkan saya menjadi jurulatih yang lebih baik dan itulah cara saya mengingati Arsene. Saya sangsi bahawa dia sudah selesai dengan bola sepak."

Walaupun Mourinho berharap dia mempunyai masa yang lama sebagai pengurus dan tempoh yang panjang di United -- berikutan contoh Wenger di Arsenal dan Alex Ferguson di Old Trafford -- ia agak mustahil kerana pengaruh luaran.

"Anda tidak akan membenarkannya -- media, media sosial, industri -- saya fikir kini terlalu banyak tekanan, bukan hanya ke atas pengurus, malah di peringkat kelab," tambah Mourinho, yang menandatangani perjanjian jangka panjang baru, tahun ini.

"Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan berada di United tetapi saya tidak mahu ke mana-mana lagi. Secara jujurnya, dengan semua kelab saya yang lain, saya sudah mula merancang tentang langkah  seterusnya. Sudah tentu saya terpaksa pergi ke Itali dan Sepanyol.

"Itu adalah perkara yang saya mahu lakukan tetapi buat masa ini, saya tidak mengejar apa-apa. Saya tidak mahu melakukan apa-apa yang berbeza daripada apa yang dilakukan sekarang," ujarnya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen