Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, memuji Eden Hazard sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris sambil berharap dia mampu membawa penggempur Chelsea itu menyertainya di United.

Mourinho membimbing Hazard di Chelsea ketika tempoh kedua pengurus dari Portugal itu di Stamford Bridge, di mana mereka menjulang trofi liga musim 2014/15.

Hazard menjaringkan 14 gol bagi musim itu tetapi dilaporkan menjadi salah seorang pemain yang tidak bersetuju dengan cara Mourinho dalam musim berikutnya.

Kini mendahului senarai penjaring dengan tujuh gol, Hazard meraih sentuhan terbaik di bawah kendalian Maurizio Sarri walaupun dia memberitahu media Belgium, HLN, ketika aksi antarabangsa bahawa dia mahu bekerja dengan Mourinho sekali lagi.

Menjelang aksi kedua-dua pasukan di Stamford Bridge hari ini, Mourinho menguatkan lagi sentimen itu apabila menyifatkan Hazard sebagai pemain yang berbeza apabila bercakap soal memenangi kejuaraan.

"Saya gembira untuk memilikinya di United," kata Mourinho.

"Namun, saya tidak rasa Chelsea akan menjualnya kepada kami. Ia tidak menjadi masalah kerana Chelsea dibimbing oleh individu yang bijak dan berpengalaman dalam bola sepak.

"Sejarah menyatakan apabila Hazard muncul pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, Chelsea menjadi juara. Ia berlaku kepada saya dan Antonio Conte.

"Musim ini, ia masih di permulaan tetapi Hazard merupakan pemain terbaik liga ketika ini. Disebabkan Hazard, Chelsea berada di kelompok atasan liga kerana dia seorang pemain yang memberikan perbezaan besar," katanya.