Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memuji David de Gea selepas penjaga gol itu meraih gelaran Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan menyifatkan ia sebagai kejayaan pasukan.

De Gea memenangi Sarung Tangan Emas buat kali pertama selepas melengkapkan perlawanan ke-18 tanpa bolos ketika seri dengan West Ham.

Ia menambah kejayaan De Gea selepas pemain kebangsaan Sepanyol itu dinobat sebagai Pemain Terbaik Manchester United dan Mourinho gembira di atas kejayaannya.

"De Gea menampilkan aksi yang menakjubkan," kata Mourinho.

"Tetapi Sarung Tangan Emas ini adalah mengenai pasukan, bukan hanya menganalisis penjaga gol tersebut.

"Ia merupakan hasil perlawanan tanpa bolos dan kami sangat gembira De Gea menerima anugerah ini."

Persembahan De Gea berdepan West Ham memastikan dia tidak mampu dikejar oleh penjaga gol Manchester City, Ederson, dalam persaingan ini.

Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois, memenangi edisi musim lalu, dengan Edwin van der Sar adalah penjaga gol United yang terakhir mememangi anugerah itu pada 2008-09.