TOTTENHAM HOTSPUR 2 NORWICH CITY 1

Jose Mourinho berkata Tottenham Hotspur sedang mengalami kekurangan penyerang yang memaksanya untuk terus berfikir, namun masih bertenang mengenai aktiviti kelab itu dalam jendela perpindahan bulan ini.


Dengan ketiadaan penyerang utama, Harry Kane, giliran Dele Alli dan Son Heung-min pula membawa watak penjaring ketika Spurs menewaskan Norwich City 2-1 di laman sendiri awal pagi tadi walaupun pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris itu memiliki peluang untuk mengikat kedudukan.

Skuad kendalian Mourinho itu menerima satu lagi tamparan hebat apabila Harry Winks turut mengalami kecederaan dan pengurus itu mengakui dia tiada pilihan lain di bangku pemain simpanan selepas Norwich menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Teemu Pukki pada minit ke-70.

"Ia kemenangan yang amat penting buat kami ketika berdepan lawan yang amat sukar," katanya kepada BBC Sport.

"Kami menderita dalam babak kedua dan kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri.

"Kami berada dalam situasi di mana saya perlu berfikir, berfikir dan berfikir.

"Saya melihat ke arah bangku pemain simpanan dan kami tiada penyerang.

"Saya terpaksa mengeluarkan Erik Lamela kerana dia kelihatan letih tetapi kami menunjukkan reaksi yang luar biasa untuk menjaringkan gol kedua.

"Apabila Chelsea mahukan kemenangan, mereka membawa masuk Michy Batshuayi.

"Apabila Manchester City mahu mengeluarkan Gabriel Jesus, mereka membawa masuk Sergio Aguero.

"Kami amat-amat tidak bernasib baik dengan kecederaan pemain.

"Kami mendapat kembali khidmat Hugo Lloris dan kami kehilangan Harry Winks, ia luar biasa," katanya.

Spurs dikaitkan untuk mendapatkan penyerang Juventus, Paulo Dybala, dan penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, dalam jendela perpindahan bulan ini, dengan Kane dijangka akan direhatkan sekurang-kurangnya sehingga Mac ini.

Gedson Fernandes, yang menyertai kelab itu secara pinjaman daripada Benfica, melakukan penampilan pertamanya selaku pemain gantian dalam babak kedua tetapi Mourinho tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan pemain baru.

"Semua dalam kelab ini mahu memberikan kondisi terbaik buat pasukan tetapi kami memikirkannya dan berkomunikasi setiap hari.

"Kami perlu terus bertenang," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa