Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, dilihat bakal ditunjukkan jalan keluar dari Old Trafford sebelum memasuki tahun baru, kata bekas bintang The Red Devils, Lee Sharpe.

United ditimpa kekalahan 3-2 di tangan Brighton and Hove Albion, Ahad lalu, selepas mempamerkan aksi hambar di Stadium Amex, beberapa jam selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, membelasah Huddersfield Town 6-1.

Mourinho membidas kesilapan individu yang menyebabkan kekalahan itu tetapi bekas pemain United seperti Gary Neville dan Paul Scholes secara terbuka mengkritik aksi keseluruhan pasukan sambil kapten, Paul Pogba, mengakui disiplin dalam skuad agak teruk.

Memandangkan Mourinho sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap jendela perpindahan yang dilalui United dan pengendali itu gagal menghadiahkan sebarang trofi musim lalu, Sharpe percaya hanya masa akan menentukan persekitaran negatif di Old Trafford memerlukan perubahan.

"Saya menjangkakan pengurus pasukan akan dipecat sebelum Krismas," kata Sharpe.

"Jika dia terus mengeluh dan orang ramai mula sedar bahawa tindakan itu tidak mendatangkan kebaikan buat kelab, jadi ia perlu diubah.

"Apa yang berlaku hanya ulangan kepada situasi sebelum ini. Apabila pihak media dan peminat memandang serius pemikiran negatif yang dipamerkan Mourinho sewaktu mengeluh terhadap pemain yang dimiliki dan yang tiada dalam skuad, dia tampak mengabaikan semua pihak.

"Mourinho dilihat sudah berputus asa dan ia memberi kesan kepada persembahan pasukan. Dia mencetuskan aura negatif," katanya lagi.

Mourinho dikecam selepas terlalu terbuka dalam mengkritik pemain-pemainnya walaupun dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana individu dalam kekalahan di Brighton.

Sharpe yang merupakan sebahagian daripada skuad United yang menjulang trofi liga dan Piala FA dua tahun berturut-turut dari 1994 sehingga 1996, mengatakan bahawa pengurus itu harus melayan anak-anak buahnya sama seperti apa yang dilakukan oleh Sir Alex Ferguson.

"Sesuatu yang membuatkan anda begitu menghormati Ferguson adalah dia sentiasa menyimpan rahsia dalam bilik persalinan," tambah Sharpe.

"Dia melakukannya di dalam pejabat dan juga tempat lain. Tiada apa yang didedahkan kepada media apabila berdepan sebarang isu dengan pemain. Saya rasa Mourinho patut melakukan perkara sama.

"Paul Pogba adalah pemain istimewa dengan bakat dan perwatakan yang hebat. Tentunya berbeza apabila melihat bagaimana anda melayan orang lain dan apa yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan prestasi terbaik pemain.

"Itu yang dimahukan oleh semua orang, Pogba yang mampu merobek lawan seperti ketika menyarung jersi Perancis. Ia tidak berlaku di United. Saya tidak pasti mengapa. Adakah disebabkan Mourinho kerana memberikan terlalu banyak syarat? Adakah terlalu banyak tekanan diberikan?

"Saya tidak pasti tetapi ia perlu diselesaikan oleh United untuk meraih sebarang peluang musim ini."