Pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, menyifatkan Jose Mourinho sebagai satu inspirasi dan menyatakan rasa besar hati selepas dipuji oleh pengurus Manchester United itu menjelang aksi kedua-dua pasukan di Old Trafford, malam ini.

Mourinho merupakan ketua jurulatih buat Nuno ketika pengendali Wolves itu merupakan penjaga gol di Porto pada tahun 2002 hingga 2004, di mana mereka memenangi dua trofi liga, satu Piala UEFA dan satu Liga Juara-Juara Eropah.

Menjelang kunjungan Wolves ke Manchester, Mourinho berpendapat Nuno telah tiba ke Liga Perdana Inggeris berbekalkan merit usahanya sendiri dan memuji pencapaian bekas pemainnya itu.

Nuno membalas kenyataan itu dengan menegaskan kenangannya bekerja bersama Mourinho tidak akan dapat dilupakan.

"Mourinho adalah pengurus saya selama dua tahun. Apa yang kami raih bersama di Porto akan kekal dalam memori," ujar Nuno.

"Satu penghargaan apabila dia bercakap tentang saya tetapi ia bukan mengenai saya, sebaliknya ia adalah Wolves menentang United. Kita akan dapat melihat dua pasukan bola sepak cuba untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Kepada semua pemain dalam skuad pada ketika itu, Mourinho adalah satu inspirasi. Ia akan kekal selamanya dalam ingatan tetapi situasi telah berubah bersama karier anda," katanya.

Wolves tidak pernah merakamkan kemenangan di Old Trafford selama 38 tahun tetapi mereka bakal berdepan United yang tewas 3-0 di tangan Tottenham Hotspur ketika kali terakhir beraksi di laman sendiri.

Skuad kendalian Nuno itu tewas dalam empat aksi terakhir dalam semua kejohanan dan pengendali itu menegaskan pasukannya akan bersedia untuk menghadapi ancaman anak-anak buah Mourinho.

"Kami akan menghadapinya sama seperti perlawanan lain dan mempersiapkan diri.

"Kami tahu jenis pasukan yang bakal kami hadapi dan bersedia untuk mempersiapkan diri dalam saingan.

"Ia tidak akan mudah tetapi kami mahu bersaing dan menterjemahkan setiap idea di atas padang. Segala yang diterapkan ketika sesi latihan akan cuba dipamerkan dalam perlawanan sebenar dan kami bersedia untuknya."