Jose Mourinho mendakwa terdapat beberapa perkara yang dia tidak dapat daripada pemain Manchester United susulan keputusan seri 2-2 ketika berdepan Arsenal, awal pagi tadi.

The Red Devils bangkit dua kali untuk mengutip satu mata berdepan The Gunners di Old Trafford selepas Anthony Martial memadamkan gol pembukaan Shkodran Mustafi dan Jesse Lingard mengambil masa 74 saat untuk menafikan jaringan sendiri Marcos Rojo.

Mourinho mengkritik pasukannya yang terlalu merumitkan keadaan ketika seri 2-2 berdepan Southampton, Sabtu lalu, dan mempersoalkan komitmen sesetengah pemain dalam skuad.

Pengendali berusia 55 tahun itu juga melihat tidak salah untuknya mengubah kesebelasan utama apabila memberikan penampilan pertama liga buat Diogo Dalot dan Rojo tetapi menjelaskan terdapat kekangan melibatkan kualiti pemain.

"Ya, ia satu petanda positif tetapi terdapat beberapa perkara yang saya tidak dapat daripada mereka dan saya tidak boleh bercakap banyak tentang perkara ini kerana semua pemain memberikan segalanya," ujar Mourinho.

"Saya tidak boleh memberitahu lebih dan memilih untuk berkata saya gembira dengan jiwa, komitmen dan keberanian yang ada."

United yang memulakan perlawanan dengan meletakkan Paul Pogba dan Romelu Lukaku di bangku simpanan, ketinggalan apabila David De Gea membenarkan bola tandukan Mustafi melintasi garisan gol pada minit ke-26.

Martial membalas dengan gol penyamaan tetapi satu lagi kesilapan membolehkan Arsenal kembali di depan setelah Rojo melepaskan penguasaan bola dan usahanya mengekang Alexandre Lacazette sekadar menyaksikannya menjaringkan gol sendiri.

Aksi pantas berlangsung di sepanjang perlawanan tetapi Mourinho menganggap pelawat bernasib baik dihadiahkan gol pembukaan.

"Cuba lihat, ia sangat terbuka kerana mereka menjaringkan dua gol. Dalam babak kedua, jelas dilihat satu pasukan yang hanya menunggu untuk meraih satu mata dan satu lagi pasukan meningkatkan kelajuan permainan serta asakan," tambah Mourinho.

"Kami membuatkan diri berada dalam situasi sukar beberapa kali tetapi disiplin dapat dilihat. Dalot dan Matteo Darmian meraih penampilan pertama, aksi memberangsangkan Rojo dalam lima minit terawal, Eric Bailly tidak beraksi sejak sekian laman dan Chris Smalling mempamerkan aksi cemerlang. Mereka berusaha keras walaupun orang ramai bercakap soal kualiti."

Apabila ditanya sama ada United telah menampilkan peningkatan selepas aksi seri berdepan Southampton, Mourinho menjawab: "Ya, benar. Kami meningkat tetapi patut memenangi perlawanan.

"Kami melakukan dua kesilapan yang membawa kepada jaringan lawan dan serangan balas. Hantaran mudah diakhiri dengan kesalahan dan sekali lagi persembahan kami tidak menentu."