Pertahanan Chelsea, Victor Moses, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa selepas mewakili Nigeria selama enam tahun.

Walaupun hanya berusia 27 tahun, Moses berkata keputusan dibuat itu bagi memberi tumpuan di peringkat kelab dan keluarganya sambil menyorot kembali kerjaya antarabangsanya ketika membantu Nigeria menjuarai Piala Negara-Negara Afrika pada 2013.

Sempat beraksi untuk skuad remaja England, Moses membuat kemunculan sulungnya bersama Nigeria pada 2012 dan beraksi dalam dua kempen Piala Dunia dengan mengumpul 37 penampilan serta merakamkan 12 gol untuk Super Eagles.

Dalam satu kenyataan di Twitter, dia berkata: "Saya ingin mengumumkan bahawa selepas berfikir sedalam-dalamnya, saya membuat keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa.

"Saya telah melalui beberapa saat terbaik dalam hidup ketika menyarung jersi Super Eagles dan mempunyai pencapaian yang hebat untuk dikenang seumur hidup.

"Tidak ada apa yang boleh mengatasi perasaan ketika mewakili Nigeria.

"Bagaimanapun, saya berasakan kini adalah masa yang tepat untuk memandang lebih jauh agar saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya di kelab dan keluarga serta memberikan generasi muda Super Eagles peluang untuk maju dan berkembang.

"Nigeria sebuah negara yang mempunyai ramai pemain muda yang menarik dan sekarang tibalah masanya untuk mereka."

Moses menjaringkan gol terakhir Nigeria dalam Piala Dunia 2018 di Russia dalam kekalahan 1-2 di tangan Argentina yang menyebabkan pasukan terkandas di peringkat kumpulan.

Dia mengucapkan selamat maju jaya kepada jurulatih Nigeria, Gernot Rohr, dan bekas rakan sepasukannya dengan berkata: "Saya telah berbincang dengan jurulatih melalui telefon dan ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau dan kakitangannya, NFF (Persekutuan Bolasepak Nigeria) dan semua ahli pasukan atas sokongan yang diberikan selama ini.

"Yang paling penting, saya ingin berterima kasih kepada rakyat Nigeria kerana mempercayai dan menyokong saya selama ini. Ia memberi makna besar kepada saya dan keluarga. Saya akan sentiasa menjadi penyokong Nigeria.

"Terdapat banyak kenangan yang menonjol untuk saya sejak bertahun-tahun lamanya,, daripada penampilan pertama sehinggalah terlibat dalam dua kempen Piala Dunia serta menjadi sebahagian daripada pasukan untuk memenangi Piala Negara-Negara Afrika untuk kali pertama sejak 1994.

"Terima kasih atas kenangan dan selamat maju jaya pada masa depan."