Alvaro Morata tidak senang dipinggirkan daripada skuad Sepanyol, kata rakan sepasukannya di Chelsea, Marcos Alonso.

Penyerang The Blues itu menyumbat gol pertamanya tahun ini dalam kemenangan suku akhir Piala FA ke atas Leicester City, Ahad lalu, untuk mengakhiri kemarau gol dalam 13 perlawanan.

Prestasi merosot Morata, 25, itu selain dibelenggu kecederaan belakang menyaksikan Antonio Conte menggunakan Eden Hazard sebagai penyerang utama dan menggunakan perpindahan Januari lalu untuk mengikat Olivier Giroud untuk menambah sengat di bahagian hadapan.

Alonso mengakui ia adalah tempoh sukar untuk rakan senegaranya itu, namun dia yakin bekas pemain Real Madrid itu yang gagal menambat hati Julen Lopetegui untuk perlawanan persahabatan bulan ini, akan menikmati permainannya pada hujung musim ini.

"Alvaro tidak gembira," kata Alonso dalam sidang akhbar. "Dia melalui beberapa bulan yang sukar kerana masalah belakang. Dia kini berada di tahap 100 peratus, dia kembali mencetak gol.

"Saya harap dia akan membantu kami pada akhir musim ini, dia sangat penting dan saya berharap dia turut sama dalam Piala Dunia Russia."

Alonso berkemungkinan akan membuat penampilan sulungnya bersama skuad senior La Roja ketika menentang Jerman.

Pemain berusia 27 tahun itu menegaskan dia tidak pernah terganggu dengan prospek perlawanan antarabangsanya biarpun terpaksa menunggu lama untuk menyertai skuad senior, begitupun dia bersedia memanfaatkan peluang terhidang.

"Saya cuba memberikan aksi terbaik," katanya. "Tugas saya adalah memberikan aksi yang baik di Chelsea dan memberi tumpuan kepada matlamat sepasukan.

"Ini satu kejutan dan hadiah atas kegigihan saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sekarang, saya perlu segera mendapat fokus dan ini benar-benar sesuatu yang menarik.

"Ini lebih daripada sekadar ujian, saya menganggapnya sebagai satu peluang. Jurulatih mengenali saya sewaktu bersama pasukan remaja. Ini peluang untuk membuktikannya, saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan berharap dapat terus beraksi lagi."