Pengerusi Cardiff City, Mehmet Dalman, mendedahkan kelab itu merancang untuk Emiliano Sala menaiki penerbangan komersial dari Perancis ke Wales ketika pihak polis menangguhkan misi pencarian pesawat kecil yang membawa penyerang baru Cardiff itu pada hari kedua.

Sala, yang memecahkan rekod perpindahan Cardiff selepas meninggalkan pasukan Ligue 1, Nantes, menaiki pesawat peribadi yang kemudian hilang berhampiran Kepulauan Channel.

Kehilangan itu disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Perancis, Isnin lalu.

Selepas misi pencarian yang dilakukan kelmarin, Pihak Polis Guuernsey mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: "Peluang untuk penumpang pesawat malang itu terselamat amat tipis andai ia terhempas ke dalam laut."

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan semalam, namun situasi di lokasi kejadian mungkin menyebabkan pesawat itu dibawa arus.

Pihak polis menangguh misi pencarian itu pada jam 5.10 petang waktu tempatan selepas tiada jejak ditemui.

"Selepas pencarian intensif selama sembilan jam dengan menggunakan pelbagai pesawat dan bot penyelamat, kami masih belum menemui sebarang petanda.

"Dengan keadaan yang semakin gelap, misi pencarian ini akan ditangguhkan sepanjang malam ini," kata kenyataan berkenaan.

Terdapat spekulasi mendakwa keputusan Sala menaiki pesawat ringan Piper Malibu itu diatur oleh Cardiff, namun pengerusi kelab berkenaan, Dalman, berkata pemain berusia 28 tahun itu diminta untuk ke Paris bagi menaiki pesawat komersial ke ibu negara Wales itu.

"Setelah melakukan siasatan, kami mempunyai bukti bahawa Cardiff bertanggungjawab untuk membawa pemain itu ke sini dengan menaiki penerbangan komersial.

"Dia diminta untuk menaiki keretapi dari Nantes ke Paris dan kemudian mengambil penerbangan ke Heathrow," katanya kepada Sky Sports.

"Keputusan itu dilakukan pemain itu sendiri yang ingin menjimatkan masa dengan menaiki pesawat peribadi.

"Kami akan terus mengumpulkan data bagi mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.

"Kami masih mengkaji sama ada keputusan itu dibuat pihak Nantes atau ejennya.

"Keputusan siasatan ini akan diketahui dalam tempoh dua hari lagi.

"Apapun, ia satu kemalangan yang tragis," katanya lagi.