MANCHESTER UNITED 1 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp mengkritik pendekatan Manchester United kerana percaya pasukan itu hanya bermain untuk bertahan ketika terikat 1-1 dengan Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford lewat malam tadi.


Liverpool menyelamatkan satu mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas Adam Lallana memadamkan jaringan pembukaan Marcus Rashford dengan gol penyamaan pada lewat permainan.

Gol Rashford itu juga mencetus kontroversi dengan kem Liverpool mendakwa Divock Origi terlebih dahulu dikasari Victor Lindelof sebelum jaringan itu terhasil, namun ia tetap dikira selepas penilaian video bantuan pengadil (VAR).

Pendahulu liga itu jelas pasukan yang lebih baik apabila menamatkan perlawanan dengan 68 peratus penguasaan, namun mereka hanya melakukan lebih tiga percubaan daripada pasukan tuan rumah itu.

Klopp -- yang menegaskan dia tidak kecewa dengan keputusan itu -- tidak dapat menahan dirinya daripada mengulas corak permainan United.

"Ia tidak mengecewakan saya. Saya bukanlah seseorang yang perlu risau dengan cara permainan seperti itu.

"Ia hanya fakta apabila kami datang ke sini, mereka hanya bertahan.

"Tidak mengapa, tiada sebarang kritikan, ia hanya fakta.

"Apabila United menentang Liverpool, kebiasaannya anda akan fikir kedua-dua pasukan akan bermain seperti ini (seperti Liverpool), akan mencuba (untuk menang).

"Kami adalah satu pasukan yang semua orang mahu menyaksikan ketika United menentang kami.

"Dengan kualiti yang mereka ada, cara permainan mereka benar-benar menyukarkan kami.

"Tiada sebarang alasan. Saya fikir kami boleh melakukan lebih baik, namun anda tidak boleh berdepan semua pasukan seperti ini.

"Kami tidak perlu katakan ia sebagai satu pujian. Ia hanya kerana kami pasukan yang bagus dan adalah normal untuk semua memikirkan bahawa mereka boleh menghalang kami.

"Kami boleh bercakap besar mengenai itu -- kami yang menghalang diri kami.

"Tetapi sudah pasti, United bertahan dengan amat baik dan mereka mempunyai kepantasan melalui (Daniel) James dan Rashford.

"Mereka melambungkan bola dari belakang dan perlawanan diteruskan. Itu tidak baik.

"Kami bertahan dengan baik tetapi boleh bermain dengan jauh lebih baik.

"Itu yang kami jangkakan daripada diri kami.

"Tiada kritikan atau penilaian tentang United, ia tentang diri kami," katanya.