Mereka akan tewas, mengapa tidak kepada kami? -- Ranieri sedia kejutkan United

Oleh Staff Writer 8 Februari 2019 7777
Mereka akan tewas, mengapa tidak kepada kami? -- Ranieri sedia kejutkan United
Pengurus Fulham, Claudio Ranieri, beranggapan pasukannya masih berpeluang menjelang pertemuan dengan Manchester United memandangkan rekod tanpa kalah The Red Devils itu pasti akan menemui penghujungnya tidak lama lagi.

United tidak pernah tewas dalam 10 perlawanan terakhir mereka sejak Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengganti sementara kepada Jose Mourinho, hujung tahun lalu.

Solskjaer mendapat pujian menggunung ekoran impak yang dibawanya dalam pasukan itu dengan memadam pendekatan mantan pengurus United tersebut dengan mengembalikan gaya permainan menyerang.

Kebangkitan itu menyaksikan United kini kembali mencabar empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris bagi memburu tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan jika mereka memenangi perlawanan malam esok dengan Fulham -- yang bergelut di zon penyingkiran -- mereka akan berkelebihan dua mata ke atas pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Bagi Fulham pula, mereka kekurangan tujuh mata untuk keluar dari zon penyingkiran selepas hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Namun, bagi Ranieri, dia tidak berasakan pasukannya sudah tewas dalam perlawanan itu.

"Kami perlu bersikap positif dan terus bersaing. Jika tidak, kami akan tewas sebelum perlawanan.

"Ia bukan satu tragedi, ia adalah bola sepak.

"Kami sentiasa berjuang. Jika lawan itu lebih baik, kami akan berusaha untuk menidakkan mereka.

"Saya mahu melihat pemain saya berjuang sehingga ke penamat.

"Penyokong pasti gembira jika mereka berjuang habis-habisan.

"Lambat-laun mereka akan tewas juga, jadi mengapa tidak kepada kami?" katanya.

Ketika Ranieri sedang memasang impian untuk menamatkan rekod tanpa kalah United, dia turut berasakan Solskjaer sudah membuktikan dia mampu untuk menggalas tugasan tetap selaku pengurus The Red Devils.

"Buat masa ini, dia layak untuk menggalas tugas itu.

"Dia membuktikan setiap pemain berada di belakangnya.

"United kini sudah mengubah mentaliti mereka, jadi mengapa tidak?

"Keputusan yang diraih sudah cukup untuk membuktikannya.

"Kesemua kemenangan dan hanya satu seri, kesemua pemainnya sudah mengubah minda mereka, banyak terlibat dalam perlawanan dan berjuang bersama-sama," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen