Jorginho berkata mentaliti yang ditanamkan kepadanya oleh Maurizio Sarri menjadikannya pemain yang lebih baik.

Pasangan itu bersama-sama menyertai Chelsea, Sabtu lalu, selepas tiga musim produktif di Napoli, dengan Sarri mendesak mendapatkan pemain tengah itu dengan nilai £50 juta (RM264.4j) selepas menggantikan Antonio Conte.

Pemain antarabangsa Itali, Jorginho, menghamburkan pujian terhadap Sarri sebaik tiba di Stamford Bridge.

"Ketika kami bersama-sama di Napoli, saya mengambil falsafahnya dan mengadunkannya bersama ciri-ciri saya sebagai pemain bola sepak," katanya kepada laman sesawang rasmi Chelsea.

''Saya berasakan mempunyai ciri-ciri yang tepat sebagai pemain bola sepak untuk falsafah bola sepak yang dia gemari jenis permainannya.

"Dia tahu semua yang berlaku di atas padang. Apabila hujung minggu tiba dan anda mempunyai perlawanan, anda akan tahu bentuk persembahan yang perlu dijelmakan.

"Dia seorang yang sangat mudah. Dia mudah berkomunikasi, dia sangat mudah didekati dan itu adalah sesuatu yang dapat membantu para pemain,'' katanya.

Chelsea tiba di Australia semalam menjelang aksi pra-musim dengan pasukan Liga A, Perth Glory.

Jorginho dijangka akan memainkan peranan utama The Blues berikutan bakal kehilangan khidmat beberapa pemain yang telah membintangi Piala Dunia 2018, termasuk N'Golo Kante, Eden Hazard dan Thibaut Courtois -- yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.