Mentaliti barisan Tottenham dibidas 

Oleh Staff Writer 10 Mac 2019 1978
Mentaliti barisan Tottenham dibidas 
SOUTHAMPTON 2 TOTTENHAM 1

Mauricio Pochettino mengakui bimbang dengan kemampuan Tottenham untuk mencabar trofi pada masa depan berikutan mentaliti yang ditunjukkan barisan pemainnya dalam kekalahan 1-2 kepada Southampton, awal pagi tadi. 


Harry Kane meletakkan pelawat di depan dalam babak pertama selepas menguasai permainan di Stadium St Mary yang menyaksikan Maya Yoshida sempat menyelamatkan pintu golnya manakala  sepakan percuma Christian Eriksen menggegarkan palang.

Bagaimanapun, Spurs gagal mengekalkan rentak berkenaan untuk Southampton memadamkan kelebihan itu menerusi sentuhan penyudah Yan Valery dan James Ward-Prowse untuk menghadiahkan kekalahan ketiga Spurs dalam empat aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pochettino, yang menjalani penggantungan sulungnya untuk dua perlawanan, sukar untuk memahami aksi hambar barisan pemainnya dalam pertengahan babak kedua, lebih-lebih lagi mereka masih segar dengan kejayaan menyingkirkan Borussia Dortmund untuk mara suku akhir Liga Juara-Juara (UCL). 

"Reaksi saya sama seperti anda," katanya dalam sidang akhbar. " Cara kami memulakan babak kedua, cara kami memberi kepercayaan kepada Southampton adalah sukar untuk difahami. Ia sangat kecewa, saya tidak faham mengapa rentak kami berubah. Ia sesuatu yang membimbangkan saya.

"Saya sangat kritikal dengan diri sendiri dan pasukan saya. Kami ingin berjuang untuk mencapai perkara-perkara ini. 

"Kami mara ke suku akhir UCL tetapi saya yakin bahawa jika kami mempamerkan aksi dalam babak kedua seperti itu, kami pasti tidak akan berada dalam kalangan lapan pasukan terbaik Eropah.

"Sehubungan itu, saya sangat kecewa, kami akan berehat selama tiga minggu tetapi adalah sukar untuk kami melupakan kejadian hari ini."

Keputusan itu bermakna Manchester United akan terikat 61 mata dengan Spurs jika mereka mengalahkan Arsenal awal pagi esok sementara Chelsea juga akan sebaris jika mereka memenangi dua kelebihan perlawanan yang dimiliki.

"Ia sesuatu yang bagus, orang akan mulai sedar kedudukan kami sudah seimbang dan persepsi mula hangat diperkatakan," kata Pochettino. "Kini, adalah penting untuk kami menyedari bahawa kami perlu banyak berjuang sehingga ke akhir musim ini.

"Saya akan memberitahu apa yang saya katakan sebelum ini: Saya agak bimbang dengan perubahan ini. Terlalu banyak perubahan yang berlaku dari separuh pertama dengan separuh masa kedua. Ia disebabkan satu perkara -- soal mental. Saya tidak ingin menyalahkan individu, saya mahu menyalahkan kami semua, seluruh kelab.

"Kami berada dalam kedudukan yang sangat baik tetapi kami dikecewakan dalam beberapa perlawanan terakhir, Apapun, kami masih berada di kedudukan seperti yang diharapkan sejak awal musim ini. Mungkin kami perlu memahami had kami untuk berada di sana, namun kalau setakat itu sahaja had kami, maka kami perlu membuat beberapa keputusan pada masa akan datang.

"Sekiranya kami mahu mengekalkan kedudukan dalam kelompok teratas, beraksi dalam suku akhir, jadi kami harus tawarkan lebih banyak pada masa akan datang, kalau tidak kami akan terus bergelut. Kami bukan sahaja ingin bersaing selama 45 minit dan dalam 45 minit berikutnya kami berkata, 'okay, kami akan kalah'. Maka Southampton akan menghukum kamu. "

Pochettino berasakan keputusan berkenaan membuktikan Spurs harus akur bahawa mereka belum berada dalam kalangan pasukan elit dunia dengan kelab tersebut pada minggu ini mengumumkan bahawa stadium baru mereka akhirnya akan disiapkan bulan depan.

"Ini tandanya masih banyak kerja yang perlu dibereskan. Ia menunjukkan bahawa kami tidak cukup matang. Ini juga menunjukkan bahawa dalam fasa akhir seperti ini, kami memerlukan lebih banyak usaha dan kualiti untuk meningkatkan kapasiti komitmen," katanya.

"Kami memerlukan segala-galanya untuk meningkatkan tahap kami untuk muncul sebagai pasukan terbaik, kelab terbaik di dunia. Itulah sebabnya kami banyak bercakap tentang perkara ini dalam tempoh empat setengah tahun yang lalu. Bukan mudah untuk membuat perancangan dan strategi dalam usaha menjadi salah sebuah kelab terbaik di Eropah atau England.

"Menganggap kami adalah pasukan terbaik memang mudah ketika menampilkan aksi menarik. 

"Namun, saya fikir kami perlu berhati-hati dengan cara kami menilai diri sendiri, Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami hanya hidup berlandaskan persepsi, sekarang kami lebih menjurus kepada realiti. Untuk menjadi konsisten, anda memerlukan masa jika anda mahu menjadi pencabar utama pada masa depan. "





 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen