Mendy terima nasihat Guardiola, sekat penggunaan telefon

Oleh Staff Writer 21 Ogos 2018 1291
Mendy terima nasihat Guardiola, sekat penggunaan telefon
Pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy, mendedahkan dia telah mengurangkan penglibatan dalam media sosial setelah diberi amaran oleh pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Mendy, yang terlepas hampir keseluruhan musim lalu akibat kecederaan, mempamerkan aksi cemerlang bagi musim 2018/19 setelah membantu City menundukkan Arsenal dan Huddersfield Town.

Benteng Perancis itu mencipta tiga bantuan jaringan, sekali gus meraih kutipan tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris tetapi setelah aksi berdepan Arsenal minggu lalu, Guardiola mencadangkan agar Mendy mengurangkan penggunaan telefon dan fokus kepada aksi bola sepak.

Mendy mencuri tumpuan ketika sedang pulih daripada kecederaan lutut apabila meraih hampir sejuta pengikut di laman Twitter susulan komen jenaka dalam setiap perlawanan melibatkan City.

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu menjelaskan dia telah menerima nasihat Guardiola.

"Saya tidak berubah tetapi kini tidak lagi menggunakan telefon di dalam bilik persalinan," kata Mendy.

"Ia lebih baik. Saya tahu peminat-peminat sukakannya tetapi pengurus adalah ketua dalam skuad dan saya perlu mendengar kata-katanya.

"Jadi, saya mengurangkannya dan memberikan segalanya ketika di atas padang buat pasukan dan peminat-peminat. Setiap kali bersama telefon dan melayari laman Instagram atau Twitter, saya perlu lebih berhati-hati.

"Apabila berada di pusat latihan, saya tidak menggunakan telefon dan mendengar nasihat pengurus pasukan. Saya tidak menjawab sebarang panggilan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen