Benjamin Mendy meletakkan sasaran untuk melakar kejayaan bersama Manchester City dan Perancis musim ini dengan mengejar beberapa gelaran, termasuk Piala Dunia 2018.

Bekas bek kiri Monaco itu memulakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baik tetapi tidak dapat menamatkan 90 minit ketika meraih kemenangan 5-0 ke atas Crystal Palace kerana mengalami kecederaan lutut.

Mendy turut berharap skuad kendalian Pep Guardiola mampu memberikan saingan dalam beberapa kejohanan musim ini.

"Objektifnya adalah untuk memenangi dua atau tiga kejuaraan bersama Manchester City," katanya.

"Kami memiliki perancangan yang terbaik untuk cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan kami mahu terus mencipta sejarah untuk pasukan ini."

Mengenai saingan Piala Dunia, Mendy optimis Perancis mampu mengulangi pencapaian Les Bleus pada 1998.

"Kami akan layak dan memenangi Piala Dunia. Kami memiliki pemain-pemain yang muda dan berpengalaman. Saya mempercayainya," ujarnya.

Mendy turut menyuarakan keinginannya untuk menjadi pemain terbaik dalam posisi bek kiri pada masa akan datang.

"Mengapa tidak? Perjalanan masih panjang tetapi saya akan terus bekerja keras untuk merealisasikan impian saya."