Satu mayat telah berjaya dikeluarkan daripada bangkai pesawat ringan membawa penyerang Cardiff City, Emiliano Sala, yang terhempas di Selat Inggeris dua minggu lalu.

Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom semalam mengesahkan mangsa yang masih belum didedahkan identitinya itu akan diserahkan kepada Koroner Dorset setelah dikeluarkan hasil bantuan pakar penyelamat.

Pesawat Piper Malibu itu hilang bersama Sala dan juruterbang, David Ibbotson, setelah berlepas dari Nantes pada 21 Januari lalu.

Satu usaha mencari persendirian, yang menerima sumbangan daripada orang ramai, kemudian dilancarkan selepas pihak berkuasa menghentikan usaha awal mencari dan bangkai pesawat itu ditemui di dasar laut Ahad lalu pada jarak 24 batu nautika di barat laut Guernsey.

Pihak AAIB berkata salah seorang mangsa telah dapat dilihat di dalam bangkai pesawat ringan itu dan mengesahkan ia kini telah dibawa keluar.

Bagaimanapun, usaha untuk menaikkan pesawat tersebut dari dasar laut telah dihentikan akibat cuaca buruk.

"Berdasarkan pemeriksaan menyeluruh visual di kawasan kemalangan menggunakan rakaman video kenderaan ROV, keputusan dibuat untuk operasi mengeluarkan mayat dilakukan," kata AAIB dalam satu kenyataan.

"Dalam keadaan yang mencabar, pihak AAIB dan pakar penyelamat berjaya mengeluarkan mayat yang sebelumnya dilihat di dalam bangkai pesawat. Operasi itu dijalankan dengan teliti dan keluarga mangsa sentiasa dimaklumkan setiap perkembangan.

"Malangnya, usaha untuk menarik keluar bangkai pesawat itu tidak berjaya sebelum cuaca buruk memaksa kami membawa semula ROV ke kapal.

"Ramalan kaji cuaca adalah buruk dalam masa terdekat ini dan keputusan sukar terpaksa diambil untuk menamatkan seluruh operasi. Mayat tersebut kini dibawa ke Portland untuk ditempatkan di bawah penjagaan Koroner Dorset.

"Walaupun tidak berupaya untuk mengeluarkan pesawat itu, rakaman video menyeluruh menerusi ROV itu dijangka dapat memberikan beberapa bukti untuk siasatan keselamatan.

"Kami menjangkakan langkah berikutnya ialah satu laporan sementara, yang kami jangka akan menyiarkannya dalam tempoh sebulan dari waktu kemalangan."

Sala menaiki pesawat ringan yang malang itu ke Cardiff selepas mengucapkan selamat tinggal kepada bekas rakan sepasukannya di Nantes setelah menyelesaikan perpindahan menyertai The Bluebirds dengan memecahkan rekod yuran perpindahan kelab.

Nantes dilaporkan meminta bayaran ansuran pertama EUR6 juta (RM27 juta) daripada yuran perpindahan itu, namun Pengerusi Cardiff, Mehmet Dalman, menegaskan mereka hanya akan melakukan pembayaran "apabila kami fikir ia masa yang tepat untuk berbuat demikian".

"Sebab pertamanya adalah mayat masih belum dikeluarkan," ujar Dalman kepada L'Equipe berhubung kelewatan pembayaran.

"Kami harus menghormati pihak keluarga. Terdapat proses untuk mengeluarkan pesawat tersebut."