Nemanja Matic percaya "aura istimewa" Jose Mourinho terhasil berikutan keinginan tinggi pengurus Manchester United itu untuk meraih kemenangan dalam minggu yang sukar.

Skuad kendalian Mourinho itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara kepada Sevilla selepas memperagakan persembahan hambar pada pertengahan minggu lalu sehingga mengundang persoalan terhadap pemilihan dan taktikal pengurus Portugis itu.

Kem United kembali bernafas susulan kemaraan ke separuh akhir Piala FA semalam dengan mengatasi Brighton & Hove Albion, namun Mourinho kecewa sambil menuduh pasukannya "takut" untuk beraksi.

Hanya Matic yang layak -- memenangi gelaran Liga Perdana bersama Mourinho di Chelsea -- diberi pujian apabila dilabel memiliki karakter berbeza.

"Dia istimewa kerana selalu mendambakan kemenangan," kata Matic. "Anda dapat saksikannya apabila kami kehilangan rentak, dia tidak boleh menerimanya. Mungkin itulah sebabnya dia memenangi lebih daripada 20 piala sepanjang kariernya.

"Adalah sangat sukar untuk bekerja dengannya kerana dia sentiasa mahukan lebih banyak lagi.

"Walaupun anda memenangi liga, dia masih menginginkannya pada musim depan. Itulah cara dia dan pemain perlu bersedia untuk itu.

"Saya suka apabila pengurus sentiasa menuntut aksi lebih baik dan lebih baik lagi, jadi anda perlu sentiasa memperbaiki, sentiasa lakukan yang terbaik. Saya sukakan cabaran dan hubungan seperti ini.

"Di peringkat tinggi seperti di Manchester United dan Chelsea, pemain perlu bersedia untuk menghadapi tekanan besar.

"Semua orang menjangkakan anda akan memenangi setiap perlawanan. Tidak kira sama ada anda penat atau tidak, penyokong mahukan bola sepak berkualiti tinggi," katanya.

Mourinho menjadi kritikal terhadap pemainnya -- pemain seperti Luke Shaw, khususnya, mendapat tumpuan hebat -- namun Matic tidak teragak-agak menyatakan hanya mereka yang mempunyai kekuatan mental tertentu boleh berkembang di bawah pengurus itu.

"Saya fikir ini adalah soalan untuknya," katanya. "Saya memberi yang terbaik dan gembira untuk bekerja di bawahnya, saya gembira menjadi sebahagian daripada anggotanya dan kelab ini.

"Saya berasakan dia (Mourinho) menghormati usaha saya pada setiap hari, bukan hanya dalam permainan, malah dalam sesi latihan dan saya gembira kerananya, saya akan terus seperti ini."

Satu-satunya harapan United untuk menjulang gelaran musim ini adalah dalam Piala FA. Mmereka akan berdepan Tottenham Hotspur dalam separuh akhir dan berpeluang menentukan kejuaraan sama ada dengan Southampton atau Chelsea.

"Dalam Liga Perdana, anda berdepan enam atau tujuh pasukan yang ingin memenangi liga, jadi sukar untuk sentiasa menang," tambah Matic, dengan Manchester City terus unggul dengan 16 mata di tampuk teratas.

"Tetapi jika kami memenangi Piala FA, ia bagus tetapi tidak sempurna. Anda mempunyai empat kejohanan musim ini -- jika anda menang satu trofi, ia tidak memadai dan anda harus melakukan yang terbaik.

"Dalam Liga Perdana, apabila anda berada dalam kelompok empat teratas, ia tidak sempurna.

"Namun, adalah bagus dapat bermain dalam Liga Juara-Juara musim depan. Jika anda memenangi Piala FA, saya tidak boleh mengatakan ia musim yang berjaya, tetapi merupakan musim yang baik."