Pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing, bertekad turun dengan misi melunaskan dendam dalam aksi menentang pasangan dari Russia, Rodion Alimov dan Alina Davletov, dalam Kejohanan Masters Barcelona, Sepanyol 2020.

Pei Jing dan Tan Kian Meng, yang akan turun selaku pasangan pilihan kedua dalam kejohanan bermula 18 Februari ini, perlu mengekalkan aksi konsisten untuk memberi cabaran kepada pasangan ranking kelapan dunia itu.

Rekod perlawanan menyaksikan Pei Jing dan Kian Meng pernah diketepikan oleh Alimov-Davletov dalam pusingan pertama Terbuka Hong Kong, November tahun lalu dengan keputusan 19-21, 21-17, 19-21.

"Kami pernah tewas kepada mereka di Hong Kong. Saya berharap untuk mengatasi mereka dan segera menyesuaikan diri sebelum saingan bermula," kata Pei Jing.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu mempamerkan persembahan konsisten dalam dua saingan dalam Kejohanan Masters Indonesia dan Thailand selepas menamatkannya di peringkat separuh akhir.

Pei Jing dan Kian Meng bertekad meneruskan rentak cemerlang dalam baki enam kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Beberapa kejohanan akan datang amat penting buat kami kerana perlu menghasilkan keputusan jika mahu melayakkan diri Ke Tokyo."




Editor: Ammar Hakim