Ejen kepada Anthony Martial mengakui tidak pasti sama ada pemain itu akan kekal di Manchester United atau tidak pada penghujung musim ini.

Pemain Perancis itu sukar merebut tempat kesebelasan utama di bawah kendalian Jose Mourinho, malah kehadiran Alexis Sanchez pada Januari lalu menambah persaingan di bahagian serangan United.

Timbul khabar angin mengenai pertemuan Doyen Sports dengan pegawai Juventus berhubung kemungkinan membuat tawaran ke atas pemain berusia 22 tahun itu sebelum penggal berikutnya.

Wakil Martial itu menegaskan Doyen Sports tidak ada kaitan dengan bekas pemain Monaco itu tetapi mengakui dia tidak boleh memberikan jaminan terhadap masa depannya.

"Saya tidak pernah bertemu dengan Juventus," kata Pengarah UFSA Management, Philippe Lamboley, kepada ilbianconero.com. "Doyen Sports tidak mewakili Anthony Martial dan segala yang dilaporkan di media Itali mengenai klien saya adalah palsu.

"Adakah dia akan kekal di Manchester selepas musim panas? Saya minta maaf tapi saya tidak boleh mengulas lanjut pada masa ini.

"Sasaran utamanya adalah memenangi Piala FA serta meraih tempat kedua Liga Perdana bersama Manchester United untuk menjamin tiket Liga Juara-Juara."

Martial telah membuat 40 penampilan sepanjang musim 2017-18 dengan menyumbat 11 gol.