Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap masa depan pemainnya, Philippe Coutinho, yang dilaporkan mahu berhijrah ke Barcelona.

Wujud laporan bahawa bintang Brazil itu meminta izin untuk berpindah pada Jumaat lalu, beberapa jam selepas pemilik kelab, Fenway Sports Group, mengeluarkan kenyataan bahawa kelab itu tidak akan menjualnya pada sebarang yuran perpindahan.

Coutinho tidak beraksi sewaktu pertemuan yang berakhir seri 3-3 dengan Watford, Sabtu lalu, dan bakal terlepas pusingan pertama aksi playoff Liga Juara-Juara Eropah menentang Hoffenheim hari ini akibat kecederaan belakang.

“Tiada apa yang berubah dalam beberapa hari ini, baik daripada pihak kami ataupun daripada sesiapa.

“Dia tidak boleh beraksi ketika ini dan ia agak menggusarkan kami tetapi kami sedar tentangnya sejak beberapa hari lalu. Jadi, kami boleh bersiap sedia.

“Ia sesuatu yang terbaik jika pasukan ini dapat kekal untuk satu tempoh sehingga empat atau lima tahun walaupun ia kedengaran tidak masuk akal,” kata Klopp.

“Saya telah menjawab apa yang perlu diperjelaskan dan tiada jawapan lain,” tambahnya.