Anthony Martial menceritakan bagaimana dia bertekad membuktikan kesilapan Jose Mourinho selepas gagal mengukuhkan posisinya dalam musim kedua pengurus Portugal itu di Manchester United.

Kerjaya Martial di United sering dibelenggu prestasi tidak tekal terutama ketika di bawah era.

Selepas membuat kemuculan yang memberangsangkan dalam musim sulung di kelab itu, langkah pemain Perancis berkenaan terbantut dalam kempen 2016-17 apabila hanya diturunkan dalam 18 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding 29 dalam musim sebelumnya selain penurunan ketara jumlah jaringannya, daripada 11 kepada empat.

Spekulasi perpindahan semakin menghimpit pemain kelahiran Perancis itu menjelang sepak mula musim 2017-18 dan dia hanya terbabit dalam tiga perlawanan EPL sebelum November lalu, namun kembali beraksi dengan lebih kerap apabila meledak sembilan kali dan mencipta lima bantuan gol.

Mourinho sememangnya terkenal dengan kaedah motivasinya apabila tidak pernah gentar untuk mengkritik pemainnya secara terbuka bagi mendapatkan tindak balas.

Meskipun langkah itu kelihatan berhasil, bekas tonggak Monaco itu sebaliknya berharap dapat memilih pendekatan yang berbeza.

"Saya lebih suka diberitahu secara berdepan," katanya kepada RMC Sport sebagai sebahagian daripada dokumentari mengenai Mourinho.

"Tidak perlu mengatakannya di hadapan semua orang. Selepas itu, pastinya saya ingin membuktikan bahawa tanggapan dia silap.

"Dia tidak menurunkan saya dalam beberapa perlawanan awal musim itu. Setiap kali saya beraksi, saya akan meledak gol dan akhirnya dia berkata kepada saya, 'anda lihat, sekarang anda telah faham apa yang saya tuntut.'

"Ia boleh mengguris perasaan tetapi ia membakar semangat anda untuk membuktikan mengapa anda berhak berada di atas padang."

Martial memulakan musim 2019-20 di bawah asuhan Ole Gunnar Solskjaer dengan baik, namun bergelut untuk menjelmakan prestasi terbaik sejak memainkan peranan utama di pusat serangan ekoran ketiadaan Marcus Rashford.


Editor: Shaiful Shamsudin