Martial, Pogba lonjak United ke slot Liga Juara-Juara

Oleh Staff Writer 9 Februari 2019 3351
Martial, Pogba lonjak United ke slot Liga Juara-Juara
FULHAM 0 MANCHESTER UNITED 3

Manchester United kini melangkah ke dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Fulham di Craven Cottage, sebentar tadi.


Dua gol daripada Paul Pogba dan percubaan individu Anthony Martial memastikan kemenangan ke-10 daripada 11 perlawanan buat pasukan pelawat di bawah pimpinan pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

United, yang merehatkan Pemain Terbaik EPL Bulan Januari, Marcus Rashford, melakukan enam pertukaran daripada kemenangan 1-0 ke atas Leicester City, tidak diberikan sebarang ancaman daripada Fulham.

Permulaan yang positif buat Fulham apabila Luciano Vietto berjaya melepaskan rembatan voli, namun kegagalannya menewaskan David de Gea dihukum 14 minit kemudian apabila Pogba bijak mencari ruang untuk menembusi gawang tuan rumah.

United tenang menyerapkan asakan demi asakan Fulham bagi mencari ruang untuk melancarkan serangan balas.

Usaha mereka berhasil apabila Phil Jones merampas bola sebelum melakukan lorongan kepada Martial, yang berjaya menggelecek melepasi Denis Odoi dan Maxime Le Marchand sebelum mengatasi penjaga gol, Rico.

Fulham kelihatan buntu mencari jalan menembusi pertahanan ampuh United hingga memaksa Claudio Ranieri melakukan pertukaran formasi dan membawa masuk Cyrus Christie menggantikan Andre Schurrle.

United menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Pogba, keputusan yang diberikan oleh pengadil selepas Le Marchand menjatuhkan Juan Mata.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen