Penyerang Manchester United, Anthony Martial, dilaporkan bersedia untuk memenuhi potensi yang dimiliki bersama kelab itu, kata rakan sepasukannya, Ander Herrera.

Masa depan Martial di Old Trafford terus menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, Bayern Munich dan Tottenham Hotspur.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang terlepas slot untuk menyertai skuad Perancis ke Piala Dunia, hanya meraih 18 penampilan dalam kesebelasan utama di sepanjang tempoh dua musim terakhir.

Bulan lalu, ejennya mengesahkan bekas pemain AS Monaco itu bersedia untuk meninggalkan United bagi mendapatkan lebih banyak peluang, namun Herrera yakin Martial masih mampu menyumbang buat The Red Devils.

"Dia sangat berbakat. Dia mampu menjadi salah seorang pemain terbaik dunia dan kini sangat fokus untuk membuktikannya pada musim ini," ujar Herrera.

"Apabila anda memiliki nama seperti Martial, Marcus Rashford, Jesse Lingard, Juan Mata serta Alexis Sanchez, mereka adalah barisan pemain yang mampu mengubah perlawanan.

"Jika salah seorang daripada mereka tidak dapat beraksi, kami memiliki tiga atau empat nama lain, jadi kami mempunyai lebih banyak pilihan. Saya rasa kami tidak perlu memikirkan pasukan lain lebih kuat kerana United mempunyai pemain yang sama seperti lawan.

"Kini, segalanya tentang kerja keras dan keyakinan. Saya yakin dengan mereka di atas kehebatan yang dimiliki dan Martial tampak semakin bagus."