Pemain Liverpool, Sadio Mane, sedar bahawa identiti idolanya ketika kecil, El Hadji Diouf, mungkin tidak membuatkan penyokong The Kop gembira.

Membesar di Senegal, Mane merupakan salah seorang generasi yang membesar ketika Diouf mengetuai negaranya mengharungi kempen cemerlang dalam saingan Piala Dunia 2002.

Bagaimanapun, perwatakan Diouf tidak digemari di Anfield sehingga mengundang kritikan beberapa legenda kelab seperti Steven Gerrar dan Jamie Carragher.

“Diouf adalah pemain pertama yang saya saksikan dan saya masih ingat perlawanan menentang Perancis ketika itu, saya meninggalkan sekolah untuk menyaksikan perlawanan tersebut di rumah rakan,” kata Mane.

“Dia adalah hero tempatan. Saya masih menemuinya jika pulang. Di sini? Mungkin tidak!”

Diouf memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Afrika sebanyak dua kali, namun Mane menegaskan bukan elemen itu yang menjadi tumpuannya.

“Saya tidak rasa itu satu keutamaan kerana matlamat sebenar adalah memenangi trofi bersama pasukan.

“”Jika berpeluang untuk mendapatkannya satu hari nanti, ia pasti bagus.

“Banyak perkara lagi yang masih belum tiba tetapi saya tahu sejauh mana kebolehan saya. Sama-sama kita saksikan apa yang akan kami kecapi,” tambahnya.

Dalam aksi malam tadi di Anfield, Mane turut muncul wira The Reds apabila meledak gol tunggal perlawanan ke atas Crystal Palace sekaligus menghadiahkan tiga mata pertama musim ini selepas sekadar mencatat keputusan seri 3-3 berdepan Watford minggu lalu.