LIVERPOOL 3 NEWCASTLE 1

Sadio Mane meneruskan prestasi cemerlangnya dengan mencetak dua gol ketika membantu Liverpool bangkit untuk menundukkan Newcastle United 3-1 bagi mengekalkan rekod permulaan kemenangan 100 peratus The Reds musim ini.


Bintang Senegal itu gagal membendung kekecewaannya terhadap Mohamed Salah -- yang menyumbat gol ketiga perlawanan di Anfield sebentar tadi -- biarpun turut meledak gol ke atas Burnley sebelum jadual antarabangsa dua minggu lalu apabila tampil tenang tatkala melebarkan rekod jaringan domestiknya kepada empat pada musim ini.

Jetro Willems terlebih dahulu membuka tirai gol perlawanan menerusi sentuhan menakjubkan untuk jaringan sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum Mane menyamakan kedudukan, 21 minit kemudian dengan ledakan yang sama hebat sebelum terus menghukum Martin Dubravka untuk memastikan Liverpool memimpin permainan sebelum rehat.

Salah kemudian mengesahkan kemenangan ketika permainan bersisa 18 minit dengan gerakan solo selepas dikritik hebat ekoran ketamakannya di Burnley untuk mengangkat The Reds sebagai pasukan pertama Liga Perdana yang memenangi 14 perlawanan berturut-turut, termasuk menjaringkan lebih daripada satu gol dalam setiap perlawanan.

Pelawat membuat kejutan ketika permainan baru berusia tujuh minit apabila rembatan deras Willems menuju ke sudut atas kanan gawang tuan rumah.

Jamaal Lascelles bernasib baik untuk mengelak menghadiahkan penalti pada minit ke-26 berikutan tindakannya menarik Joel Matip ketika pertembungan di udara.

Begitupun, anak buah Jurgen Klopp itu mendapatkan gol penyamaan dua minit kemudian -- Mane turut memilih sudut atas kanan setelah menyambut umpanan Andy Robertson.

Hantaran lolos daripada Roberto Firmino -- yang dimasukkan selepas Divock Origi dilanda kecederaan -- menuntut ketangkasan Dubravka, namun belum cukup untuk penjaga gawang itu mengekang Mane daripada membuat tindakan susulan untuk kedudukan 2-1 sebelum waktu rehat.

Emil Krafth hampir mengimbangi kedudukan pada awal babak kedua dengan melepaskan tendangan kencang selepas Liverpool gagal mematahkan hantaran lintang Joelinton.

Selepas itu, Dubravka dipaksa melakukan aksi menyelamat bagi memastikan The Magpies terus bersaing dengan menafikan percubaan jarak dekat Trent Alexander-Arnold dan Firmino.

Namun, kewibawaan Salah tidak dapat disangkal lagi apabila tonggak Mesir itu berjaya menggelecek Fabian Schar untuk menggegar pintu gol lawan.

Hajat Liverpool untuk menambah gol pada penghujung permainan tidak menjadi kenyataan apabila Dubravka menyekat percubaan mengelirukan Alexander-Arnold sementara Mane pula dinafikan hatrik berikutan ofsaid oleh Firmino.