Sadio Mane berpendapat Roberto Firmino wajar menerima pujian dalam kejayaan Liverpool memenangi Piala Super UEFA walaupun bintang Senegal itu menyumbat dua gol.

Olivier Giroud memberikan Chelsea pendahuluan di Istanbul kelmarin dalam pertemuan melibatkan dua kelab Inggeris di pentas Piala Super UEFA.

Namun, setelah Firmino dibawa masuk dari bangku simpanan selepas rehat, dia mencipta dua bantuan gol buat Mane untuk meletakkan pasukannya di depan sebelum sepakan penalti Jorginho menjadikan kedudukan 2-2.

Penjaga gol, Adrian, yang menggantikan tempat Alisson, muncul wira apabila menafikan tendangan Tammy Abraham ketika penentuan sepakan penalti untuk membolehkan The Reds menang 5-4.

Biarpun Mane merupakan penjaring terbanyak Liverpool bagi tahun 2019 dengan 18 gol dalam semua kejohanan, dia lebih gembira untuk berkongsi kejayaan itu.

"Secara jujur, saya fikir saya seorang yang bertuah," katanya.

"Saya rasa semua pujian harus diberikan kepada rakan sepasukan, terutama Firmino. Dia boleh hasilkan gol tetapi memilih untuk menolak kepada saya.

"Saya rasa itu cara bagaimana kami bermain di Liverpool. Kami bermain untuk satu sama lain dan menikmatinya, sentiasa menghantar kepada rakan sepasukan. Ia dirasakan membuatkan kami kuat."

Liverpool, yang menundukkan Norwich City 4-1 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di laman sendiri minggu lalu, akan berkunjung ke bekas majikan Mane, Southampton, esok.