Manchester City bimbang bahawa "keyakinan" mereka terhadap siasatan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam soal hal ehwal kewangan mereka mungkin mendapati "ada yang tidak kena" selepas laporan mendakwa juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berdepan larangan beraksi selama setahun dalam Liga Juara-Juara (UCL).

UEFA melancarkan siasatan rasmi ke atas City, Mac lalu, berikutan dakwaan yang dibuat oleh majalah terbitan Jerman, Der Spiegel, bahawa kelab itu melanggar Peraturan Kewangan Adil (FFP).

Tuntutan itu didasari dengan dokumen yang kononnya diperoleh daripada pihak yang sering membocorkan maklumat sulit, Football Leaks.

City, yang meraih kejuaraan EPL keempat dalam tempoh lapan musim ketika bertemu Brighton & Hove Albion, Ahad lalu, mengalu-alukan siasatan tersebut yang dianggap sebagai peluang mereka untuk menamatkan spekulasi berkenaan akibat penggodaman dan pencerobohan maklumat sulit e-mel City.

Dalam satu kenyataan 7 Mac lalu, mereka menambah: "Tuduhan penyelewengan kewangan tersebut adalah palsu."

Satu laporan yang dibuat New York Times, Isnin lalu, mendakwa dewan penyiasat Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB IC) akan mengesyorkan penggantungan semusim ke atas City.

Ketua penyiasat, Yves Leterme, sedia meluluskan sebarang cadangan yang perlu memutuskan sama ada mereka bersetuju dengan hukuman yang dicadangkan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, City menyatakan bahawa mereka telah bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan UEFA itu dan berikrar akan memberikan sepenuhnya komitmen untuk proses yang sewajarnya.

"Manchester City FC akan bekerjasama sepenuhnya dan mempunyai kepercayaan terhadap siasatan yang sedang dijalankan CFCB IC," kata kenyataan itu.

"Dengan berbuat demikian, kelab ini bergantung kepada kebebasan dan komitmen CFCB IC untuk melaksanakan proses yang sewajarnya terhadap tuntutan UEFA yang dibuat 7 Mac lalu. Oleh itu, tiada ulasan lanjut tentang hal tersebut tatkala siasatan sedang dijalankan.

"Laporan New York Times memetik kes itu melibatkan 'muka-muka yang dikenali', justeru ia sesuatu yang amat membimbangkan.

"Ia akan memberi kesan kepada keyakinan Manchester City terhadap CFCB IC sama ada ia adalah tidak tepat atau perkara ini sengaja direka-reka oleh individu yang berniat untuk merosakkan reputasi kelab ini dan kepentingan komersialnya.

"Akaun yang diterbitkan Manchester City adalah penuh dan lengkap serta mempunyai rekod undang-undang dan peraturan.

"Tuduhan penyelewengan kewangan tersebut adalah palsu dan bukti komprehensif terhadap perkara ini telah diserahkan kepada CFCB IC."

Versi dalam talian terbaru artikel New York Times kemudiannya lagi tidak memaparkan sebarang kandungan yang merujuk kepada "muka biasa dalam kes berkenaan".

City didakwa berikutan dipercayai melanggar peraturan FFP pada 2014 dan beroperasi melebihi perbelanjaan sepatutnya serta mengecilkan saiz skuad itu bagi musim 2014-15.

Januari lalu, bekas Perdana Menteri Belgium, Leterme, memberitahu majalah Sport and Strategy di tanah airnya bahawa City harus dikenakan penggantungan sekiranya terbukti benar bahawa kelab berkenaan menggunakan tajaan bernilai berjuta-juta pound daripada syarikat-syarikat Abu Dhabi yang menggunakan kekayaan pemiliknya, Sheikh Mansour.

"Jika apa yang ditulis mengenai Manchester City adalah benar, mungkin masalah serius wujud," kata Leterme.

"Ini boleh mendorong kepada hukuman berat -- digantung daripada pertandingan UEFA."

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), badan pentadbir liga dan FA England turut menjalankan siasatan ke atas operasi City berhubung pelbagai dakwaan yang dilemparkan Football Leaks.