Manchester United perlu membawa masuk muka baru sebelum melepaskan pemain, termasuk Paul Pogba, kata bekas pertahanan, Gary Neville.

Pogba, yang kembali ke United daripada Juventus tiga tahun lalu, mencetuskan spekulasi perpindahan dengan mengatakan kini adalah detik yang baik untuk menghadapi cabaran baru di tempat lain.

Real Madrid, Barcelona dan Juventus dikaitkan dengan pemain tengah Perancis berkenaan manakala United dilaporkan menolak tawaran pertukarannya dengan pemain Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

Neville, bagaimanapun, berasakan Pogba sepatutnya dibenarkan pergi sekiranya pemenang Piala Dunia itu memutuskan untuk berhijrah tetapi haruslah dengan syarat penggantinya sudah dibawa masuk terlebih dahulu.

"Mereka tidak perlu menyimpan mana-mana pemain," kata Neville dalam Sky Sports.

"Manchester United adalah pasukan yang lebih baik apabila Paul Pogba beraksi tetapi jika seseorang pemain itu tidak mahu kekal, maka anda perlu mendapatkan pemain lain yang selari dengan permainan yang anda terapkan.

"Itulah langkah pertama yang perlu dilakukan Ole (Gunnar Solskjaer) -- mengenal pasti pemain yang bersedia memacu kelab itu. Saya masih tidak pasti dengan sebilangan pemain."

Tambahnya: "Spekulasi sentiasa wujud sepanjang masa. Anda perlu mendapatkan pemain sebelum melepaskan mereka kerana kuasa wang boleh membuatkan anda terdedah.

"Bagi United, semuanya mengenai masa dan manipulasi dalam usaha memancing pemain sebelum membenarkan yang lain pergi. Jika tidak, kelab akan menjadi sasaran mudah untuk mengaut keuntungan dan saya pasti ia sudah pun berlaku."

Daniel James merupakan satu-satunya pemain yang diikat United sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu, sehingga mencetuskan kritikan terhadap Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward, yang menguruskan operasi perpindahan pemain.

United dilaporkan ingin memperkenalkan peranan pengarah sukan kelab tetapi biarpun aktiviti mendapatkan pemain masih lembab di Old Trafford, Neville mempertahankan langkah berkenaan.

"Sukar untuk mencapai kata sepakat, ia bukannya mudah," tambah Neville, yang memenangi lapan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama The Red Devils.

"Semua orang tahu apabila Manchester United mahukan pemain, secara tidak langsung tanda harga pemain itu akan naik. Anda perlu mencuba dan menggalakkan pemain untuk datang ke kelab ini.

"Pemain tidak akan sewenang-wenangnya menyertai mana-mana kelab -- mereka melakukan kerja rumah dan mendapatkan ejen untuk bekerjasama dengan mereka.

"Pada era ini, mereka mungkin mengadakan 50 pertemuan sebelum menyertai sesebuah kelab. United akan berada dalam kalangan 'jerung' untuk memburu pemain handalan.

"Ia adalah situasi sukar memandangkan semua kelab mahukan pemain yang sama. Mereka semua mahukan Harry Maguire, termasuklah Christian Eriksen.

"Pemain yang diburu empat atau lima kelab, mereka tidak akan menandatangani kontrak dengan kelab pertama yang membuat tawaran, sebaliknya mereka akan membuat pilihan dengan bijak dan melihatnya dalam aspek yang berbeza.

"Manchester United berdepan tugas besar bagi membentuk skuad yang tepat untuk mencabar kejuaraan. Semoga usaha itu dapat dimulakan musim panas ini tetapi ia bukan hanya mengenai muka baru, malah melibatkan proses melepaskan beberapa pemain."