Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, melabel Manchester City sebagai "pasukan terbaik di Eropah" sambil mencabar pemainnya untuk memberikan saingan kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.

City kembali ke puncak Liga Perdana selepas membenam Everton 2-0, Rabu lalu.

Kemenangan itu memastikan mereka memintas Liverpool -- yang masih berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- berdasarkan kelebihan jaringan.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu meraih kejuaraan musim lalu dan walaupun Liverpool memberikan kesukaran buat mereka mempertahankan gelaran musim ini, Sarri berasakan City berada di satu tahap yang berbeza berbanding pasukan lain.

Namun, bekas pengendali Napoli itu enggan mengaku kalah ketika dia sedang mempersiapkan pasukannya untuk bertandang ke Stadium Etihad, awal pagi Isnin ini.

Ditanya sama ada Chelsea mampu menjadi pasukan sebaik City, Sarri menjawab: "Saya rasa, ya.

"Kami perlu berusaha. Anda perlu lebih bersaing dalam pasaran pemain atau anda perlu berusaha dengan cara yang berbeza.

"Kami perlu berusaha untuk merapatkan jurang di antara kami dengan mereka.

"Buat masa ini, masih terdapat jurang yang ketara.

"Kami kini hanya boleh bersaing untuk merebut empat kedudukan teratas.

"Kami mungkin boleh memenangi sesuatu musim ini, namun dalam Liga Perdana, ia hanya melibatkan Liverpool dan City.

"Bagi saya, City adalah pasukan terbaik di Eropah.

"Saya tahu sukar untuk mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah kerana apabila anda beraksi dalam Liga Perdana, amat sukar untuk anda beraksi baik dalam kejohanan-kejohanan lain.

"Buat masa ini, saya berasakan City adalah pasukan terbaik di Eropah.

"Mereka adalah contoh yang boleh diikuti kelab-kelab lain," katanya.