LEICESTER CITY 1 SHEFFIELD UNITED 0

Claude Puel menegaskan kontroversi perpindahan Riyad Mahrez sudah berlalu selepas pemain buruan Manchester City itu membantu kemaraan Leicester City dalam Piala FA.


Mahrez gagal muncul di Leicester selama 10 hari selepas hajatnya menyertai peneraju Liga Perdana, City, gagal mencapai kata sepakat pada hari terakhir perpindahan.

Mahrez membuat permulaan pertamanya sejak 20 Januari lalu dan menerima sambutan hangat penyokong di Stadium King Power ketika Leicester membenam Sheffield United 1-0 dalam aksi pusingan kelima, awal pagi tadi.

Umpanan Mahrez kepada Jamie Vardy pada minit ke-66 sudah cukup untuk membawa Leicester ke suku akhir.

"Ia sudah berlalu," kata pengurus Puel. "Riyad hadir dengan kualiti tinggi dan ia adalah perasaan yang baik untuk kami.

"Peminat mengalu-alukan Riyad dan adalah penting untuk mengekalkan perasaan baik demi masa depan.

"Saya pernah berkata, adalah penting untuk terus bersatu selepas kekeruhan ini tetapi pada akhirnya, alangkah bagusnya dapat melihat suasana yang baik.

"Perkara yang paling penting adalah untuk menang dan melihat semula Jamie dan Riyad bergandingan adalah perasaan yang menyeronokkan. Riyad agak kecewa pada akhir permainan kerana dia mahu mencetak gol tetapi itu bagus."