Perancang Leicester City, James Maddison, sedar dia harus menjaringkan gol untuk memastikan permainannya naik ke tahap yang baru.

Maddison dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan sewaktu pasukannya seri 1-1 dengan Chelsea di laman lawan selepas mengetuai Leicester memadamkan jaringan pembukaan Mason Mount.

Sepakan sudut pemain berusia 22 tahun itu ditanduk masuk oleh Wilfred Ndidi tetapi dia jelas kecewa setelah gagal menyempurnakan beberapa peluang untuk memberikan tiga mata buat pasukannya.

"Anda melihat rakan sepasukan kecewa. Kami sangat kecewa. Kami meraih peluang, termasuk daripada saya," katanya.

"Jika anda datang ke Stamford Bridge dan beraksi sebegitu, anda perlu gunakan kesempatan yang ada.

"Musim lalu saya menjaringkan tujuh gol dan saya perlu tingkatkan catatan itu untuk pergi ke tahap lebih tinggi.

"Saya masih belajar, berlatih dan saya pasti dapat tingkatkan corak permainan."

Pemain muda Chelsea, Mount, menikmati aksi cemerlang di depan penyokong sendiri selepas menggunakan kesilapan Ndidi untuk memberikan jaringan pertama di Stamford Bridge di bawah bimbingan Frank Lampard pada minit ketujuh.

"Datang daripada akademi dan bersama kelab sejak berusia enam tahun, ini adalah impian anda," katanya.

"Kami melihat keputusan dan kecewa. Ini adalah cara pengurus, mahu kami berikan tekanan buat lawan dan mungkin Ndidi tidak melihat saya datang ke arahnya.

"Tempoh 20 minit pertama sememangnya bagus tetapi dalam 70 minit yang seterusnya, kami tidak pantas.

"Saya mahu jaringkan gol, membantu setiap jaringan dan memberi impak dalam permainan. Secara berpasukan, kami melihat prestasi dan terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki."