Penyerang Machester United, Romelu Lukaku, mengakui pasukannya bernasib baik dapat melepasi ujian getir dalam babak kedua permainan tatkala mereka menundukkan Watford 2-1 di Vicarage Road.

United meraih dua gol pendahuluan dalam babak pertama hasil jaringan pembukaan Lukaku dan Chris Smalling, namun membiarkan Watford mempamer kebangkitan selepas rehat.

Andre Gray cuba merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-65 tetapi skuad kendalian Jose Mourinho itu lebih unggul untuk mengutip kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan liga.

Namun, Lukaku jelas tidak gembira dengan persembahan pasukannya dalam babak kedua dan mahu peningkatan ditunjukkan selepas ini.

"Kualiti yang membezakan kami dalam babak pertama kerana selepas rehat, kami hilang punca," ujar Lukaku.

"Kami sangat dominan. Smalling dan kami cuba mendapatkan gol ketiga tetapi seperti saya katakan, kami hilang punca dan akan menonton semula perlawanan itu untuk memperbaiki kelemahan," ujarnya.

Dalam masa sama, Mourinho memuji bintang Belgium itu atas sebab daya kerjanya di atas padang sambil berasa ia patut dicontohi oleh pemain-pemain lain.

"Bentesannya selepas melakukan larian sejauh 70 meter di bahagian peetahanan kanan menceritakan apa yang saya mahu daripada pasukan saya," kata Mourinho.

"Saya mahu kami bermain seperti dalam babak pertama. Apabila berada dalam bahaya, anda harus mengelakkannya. Ia hanya akan dilakukan secara satu pasukan dan kami membuktikannya."

United seterusnya akan berkunjung ke Switzerland untuk berdepan Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.