Lukaku hadiahkan United tiga mata 

Oleh Staff Writer 14 Disember 2017 9297
Lukaku hadiahkan United tiga mata 
MANCHESTER UNITED 1 BOURNEMOUTH 0 

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan bahawa peluang pasukannya memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) masih bernyawa meskipun rekod pasukannya dicalarkan Manchester City.


Pasukan Pep Guardiola itu mencatat rekod rentetan 15 kemenangan awal pagi tadi selepas membelasah Swansea City 4-0 sementara United berhempas-pulas untuk menewaskan Bournemouth di Old Trafford.

Gol Romelu Lukaku sudah cukup menundukkan skuad Cherries itu 1-0 untuk United bangkit selepas kekalahan 'derby', dan Mourinho mengakui pemainnya menunjukkan tanda-tanda keletihan.

Dia, bagaimanapun, menekankan tekadnya untuk menutup jurang dengan pasukan kendalian Guardiola itu menjelang perlawanan rumit di West Brom dan Leicester City.

Apabila ditanya tentang pemburuan gelaran, dia memberitahu BBC Sport: "Kami mengharungi satu demi satu perlawanan dan kami perlu cuba menang untuk menang dalam aksi seterusnya. Kami perlu berdepan pasukan yang sukar di West Brom.

"Ia hanya akan berakhir pada Mei. Jika sudah berakhir, saya akan pergi bercuti ke Brazil atau Los Angeles," katanya.

Ditanya sama ada pasukannya terganggu dengan kekalahan 2-1 kepada City, Mourinho menjawab: "Keletihan, ya tetapi tidak terbawa-bawa.

"Permainan ini adalah penting dan kekalahan tidak membantu dalam pemulihan anda -- kemenangan membantu, kekalahan tidak.

"Mereka adalah lawan yang sukar dalam keadaan sukar. Jika kami menjaringkan gol kedua, ia akan menjadi malam yang tenang untuk kami."

Lukaku menjaringkan gol pertama EPL sejak kemarau dalam lima perlawanan dan menemui sentuhan penyudah selepas 25 minit permainan berlangsung untuk memberi United kelebihan ke atas Bournemouth yang memisahkan di antara kedua-dua pihak.

"Saya gembira dengan tiga mata yang diperoleh, ini perlawanan sukar," kata Mourinho. "Mereka berkelebihan sehari berbanding kami, mereka lebih cergas daripada kami dan secara mental lebih segar selepas kami mengharungi perlawanan besar.

"Kami mempunyai peluang, (Anthony) Martial mempunyai peluang menarik pada lewat permainan, (Marcus) Rashford mungkin mencipta usaha yang menakjubkan dan pada 15 minit terakhir, mereka mendorong kami."

Mourinho mengambil pendekatan berhati-hati terhadap Luke Shaw apabila bek kiri itu digantikan pada minit ke-83 oleh Ashley Young.

"Saya tidak mengatakan dia adalah pilihan pertama atau kedua. Sejarah kecederaannya luar biasa dan menjalani banyak pembedahan pada akhir musim lalu.

"Dia memerlukan pertandingan yang kompetitif, kami memberikannya peluang dan dia ditimpa beberapa kekejangan, jadi kami terpaksa menukarnya. Tepukan gemuruh yang diberikan kepadanya, ia membantu pemain," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen