Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, mengucapkan terima kasih kepada penyokong skuad The Red Devils selepas membuatkan dirinya berasa selesa berada di Old Trafford, namun sudah tiba masa untuknya melupakan sorakan kontroversi terhadapnya sebelum ini.

Penyerang Belgium itu pantas memberikan impak besar kepada United sejak melengkapkan perpindahan bernilai GBP75 juta (RM427 juta) dari Everton, apabila sudah menjaringkan tujuh gol buat skuad kendalian Jose Mourinho.

Ketajamannya di depan gol menjadi pujaan peminat United, namun sebuah lagu yang digunakan sebagai sorakan buat Lukaku telah mencipta kontroversi kerana dikatakan bersifat perkauman.

Sebuah rakaman dari tempat duduk penonton di Old Trafford ketika menewaskan Everton 4-0 pada minggu lalu memaparkan sekumpulan kecil penyokong yang menyanyikan sorakan tersebut.

Perkara itu menyebabkan sebuah kumpulan anti-diskriminasi, Kick It Out, menggesa agar United menyelesaikan isu tersebut dan pada Rabu, pihak pengurusan Manchester United telah mengumumkan akan mengambil tindakan terhadap “mana-mana kelakuan yang bersifat serangan atau penghinaan”.

Bagi Lukaku, dia berharap agar kontroversi itu akan berlalu sebagai salah satu sejarah.

“Sokongan hebat sejak saya menyertai #MUFC. Penyokong memberikan sokongan hebat dengan lagu-lagu mereka tetapi ayuh teruskan dengan cabaran seterusnya. Hormati satu sama lain,” kata kenyataan Lukaku menerusi laman sosial Twitter Manchester United.