Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, mendedahkan keinginannya untuk beraksi dalam Serie A pada masa akan datang.

Lukaku -- meledak dua gol untuk membantu Belgium mengatasi Switzerland 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, Jumaat lalu -- kini memasuki musim kelapan dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea, West Brom, Everton dan United.

Dia mencetus spekulasi mengenai masa depannya apabila mendedahkan keinginannya untuk beraksi dalam Serie A.

"Mengapa tidak? Saya berharap untuk beraksi di Itali," kata Lukaku.

Lukaku turut memberikan pujian kepada juara Serie A, Juventus -- yang bakal berdepan United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) minggu depan -- dan percaya mereka dalam kalangan terbaik di Eropah.

"Juve memiliki projek yang sangat berkualiti dan mereka berjaya mencapainya selangkah demi selangkah. Setiap tahun mereka menjadi pasukan yang lebih berbisa.

"Tanpa diragui, Juve merupakan salah satu daripada tiga pasukan terbaik di Eropah. Mereka memiliki jurulatih yang bagus dan pemain-pemain berkualiti di setiap posisi.

"Cristiano Ronaldo adalah ancaman utama tetapi terdapat beberapa pemain lain yang turut berbisa. Paulo Dybala dan Douglas Costa, mereka adalah pemain yang sangat pantas dan sangat mahir menggelecek bola.

"Ia adalah kumpulan yang sukar tetapi United mahu muncul juara kumpulan," ujarnya.

Sebelum pertembungan United dengan Juve, Lukaku dijangkan diturunkan berdepan Belanda di Brussels untuk aksi persahabatan.