Legenda Manchester United, Dwight Yorke, yakin penyerang Red Devils, Romelu Lukaku, akan menjaringkan lebih 30 gol dalam semua kejohanan musim ini untuk membuktikan kewibawaannya.

Sejak tiba dari Everton pada musim panas lalu, Lukaku telah mencatatkan 17 jaringan, termasuk dua jaringan bulan ini.

Situasi itu membuat Yorke, yang pernah memenangi tiga kejuaraan liga serta satu trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), percaya bahawa kritikan yang diterima Lukaku adalah sesuatu yang tidak adil.

"Saya rasa dia telah melakukannya dengan baik. Kadangkala seseorang pemain akan menerima layanan yang tidak adil hanya disebabkan oleh harga yang dibayar untuk mendapatkan khidmatnya, lebih-lebih lagi apabila bermain untuk pasukan seperti Manchester United.

"Anda perlu konsisten tetapi Lukaku adalah pembelian yang berbaloi kerana dia telah menjaringkan 17 gol walaupun kini baru separuh musim. Jika dia meneruskan prestasi itu, Lukaku akan menyumbat lebih daripada 30 jaringan.

"Tanpa ragu, dia masih lagi muda dan mampu meningkat naik untuk memenuhi keperluan sebenar yang dituntut oleh Manchester United," katanya.

Yorke juga memberikan pujian buat penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, selepas menyumbat 20 gol hasil daripada 22 penampilan, sekaligus mencerahkan peluang untuk menerima anugerah Kasut Emas buat kali ketiga berturut-turut.

"Pada mulanya, saya berasa agak ragu dengan kemampuan Kane tetapi apa yang saya lihat adalah seorang pemain yang meningkat dengan amat bagus sebagai seorang penyerang.

"Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai seorang "pemain nombor 9" yang sebenar tetapi Kane memiliki persamaan dengan legenda-legenda lain seperti Alan Shearer, Andy Cole dan Robbie Fowler.

"Kekuatan sebenar Kane adalah dia menjaringkan gol. Anda boleh membandingkannya dengan beberapa perkara tetapi dia tahu bagaimana untuk menjaringkan gol, sebab itu dia mampu memecahkan rekod Shearer," tambahnya.