David Luiz percaya penting buat Chelsea mempamerkan perwatakan hebat ketika menewaskan Tottenham Hotspur 2-1, Ahad lalu, selepas pasukannya tewas mengejut di tangan Burnley dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.

Juara bertahan itu dikejutkan dengan tiga gol dalam babak pertama ketika menentang Burnley dan walaupun cuba menunjukkan kebangkitan, ternyata dua gol yang diraih tidak mampu menafikan kekalahan dalam aksi pembukaan.

Bagaimanapun, Luiz percaya semangat tinggi dalam diri pemain ketika itu membuatkan pemain-pemain nekad untuk mencipta kemenangan bertemu Spurs dan hasilnya, dua gol Marcos Alonso memberikan tiga mata pertama The Blues musim ini.

“Semangat tinggi dapat dilihat ketika aksi dalam babak kedua ketika bertemu Burnley.

“Jelas sekali, amat penting untuk kami mempamerkan perwatakan sebenar selepas mengalami kekalahan. Pemain-pemain mempunyai mentaliti yang kuat walaupun tewas sebelum ini.

“Bermain menentang pasukan serta kelompok pemain hebat, kami berhak untuk menang (ke atas Spurs),” katanya.

“Saya rasa kami melakukannya dalam keadaan yang bijak kerana anda perlu faham, apabila menentang pasukan yang hebat, kadangkala anda perlu banyak memegang bola tetapi tidak mustahil akan mengharapkan serangan balas,” tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.