David Luiz melengkapkan perpindahannya daripada Chelsea kepada Arsenal menjelang tarikh tutup jendela perpindahan pemain, awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Brazil berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak yang dipercayai selama dua tahun di Stadium Emirates.

Kemasukannya itu bertujuan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan kapten pasukan, Laurent Koscielny, yang berpindah ke Bordeux.

Omnisport difahamkan perpindahan Luiz itu bernilai sekitar £8 juta (RM40.6 juta) bagi menamatkan tempoh kedua pemain itu di Chelsea selepas beraksi selama dua tahun di Paris Saint-Germain (PSG) yang ketika itu dikendalikan Unai Emery.

"David berpengalaman luas dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya semula," kata pengurus Arsenal itu.

"Dia pemain yang disegani dan akan menambah kekuatan pertahanan kami."

Luiz mula menyertai Chelsea apabila meninggalkan Benfica pada 2011 sebelum berhijrah ke Paris tiga tahun kemudian.

Dia kemudian kembali menyertai kelab London itu pada 2016 untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Dia merupakan tonggak penting di bawah kendalian Maurizio Sarri musim lalu dan dilihat akan terus menjadi taruhan pengurus baru, Frank Lampard.

Bagaimanapun, laporan akhbar semalam mendapati Luiz mahu berpindah ke Arsenal dan dia berkemungkinan akan melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Newcastle United, hujung minggu ini.

Chelsea melepaskan Gary Cahill pada penghujung musim lalu dan tidak dapat menggantikan bekas kapten itu dan Luiz gara-gara sekatan perpindahan pemain.

Namun, Kurt Zouma dan Fikayo Tomori telah dipanggil semula selepas menamatkan tempoh pinjaman manakala Antonio Rudiger pula semakin pulih daripada kecederaan.