Ruben Loftus-Cheek mengulangi nyanyian penyokong di Stamford Bridge yang berbunyi "Eden Hazard, kami mahu anda kekal" kepada pemain Belgium tersebut dengan harapan dapat memujuknya supaya tidak berpaling ke Real Madrid.

Hazard telah memaklumkan kepada Chelsea tentang perancangannya pada akhir musim ini dan dengan kontraknya yang akan berakhir pada 2020, dia dijangka melengkapkan perpindahan impiannya ke Santiago Bernabeu.

Pemain berusia 28 tahun itu telah menghabiskan tujuh musim sebagai pemain Chelsea dengan memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa, namun tetap menegaskan bahawa kemaraan ke perlawanan akhir Liga Europa musim ini dan peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) tidak akan mengubah pendiriannya untuk keluar dari barat London.

Loftus-Cheek menyertai beberapa bintang Chelsea yang lain untuk melahirkan ucapan penghargaan terhadap Hazard selain mengakui mengulangi nyanyian rayuan penyokong mereka itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Saya telah menyanyikan lagu itu di depannya dan di bilik persalinan!" Loftus-Cheek memberitahu Sky Sports.

"Saya yakin setiap orang di kelab ini mahukannya kekal -- baik pemain, peminat, kakitangan dan pengurusan.

"Dia berbakat besar dan merupakan pemain yang telah memberikan sumbangan besar kepada kelab dalam tujuh tahun terakhir ini dan membantu kelab memenangi gelaran. Semua orang telah menikmati kelincahannya selama tujuh tahun lalu.

"Saya yakin pihak kelab akan berterima kasih atas sumbangannya dan jika dia memutuskan untuk berpindah, maka saya mengucapkan selamat berjaya."

Pertahanan Chelsea, David Luiz, turut menuntut Hazard supaya kekal sambil memberi gambaran tentang dirinya sendiri ketika meninggalkan Stamford Bridge, lima tahun lalu.

Pemain Brazil itu berkelana ke Paris Saint-Germain (PSG) selama dua musim sebelum kembali ke Chelsea, justeru dia berharap orang ramai boleh memberikan sambutan yang sama setelah Hazard pergi.

"Sudah semestinya saya juga mahukannya kekal," kata David Luiz. "Dia seorang pemain yang hebat, saya mahu dia beraksi di samping pemain terbaik. Saya fikir dia perlu membuat keputusan.

"Saya membuat keputusan sendiri ketika memilih untuk meninggalkan Chelsea dan pergi ke PSG. Ia bukan mudah buat saya tetapi keputusan yang saya buat ketika itu adalah kerana kontrak saya sudah tamat.

"Saya mahukan cabaran yang berbeza dan semua orang di sini menghormatinya. Jadi, saya juga perlu menghormati keputusan Eden.

"Dia perlu membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Dia seorang pemain yang hebat dan merupakan kawan baik saya. Saya berharap yang terbaik buatnya tetapi dalam masa sama, saya harap dia akan kekal."