Loftus-Cheek kesal persembahan cuai Chelsea

Oleh Staff Writer 6 Disember 2018 403
Loftus-Cheek kesal persembahan cuai Chelsea
Pemain tengah, Ruben Loftus-Cheek, berasa Chelsea telah dihukum akibat kecuaian dalam babak kedua setelah tewas mengejut 2-1 di tangan Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.

Jaringan pembukaan daripada Loftus-Cheek memberikan skuad kendalian Maurizio Sarri itu pendahuluan di Molineux, namun tuan rumah bangkit menghasilkan dua gol selepas rehat.

Gol daripada Raul Jimenez dan Diogo Jota menyaksikan Wolves menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan tatkala Chelsea jatuh ke tangga keempat liga, 10 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Loftus-Cheek, yang melakukan penampilan pertama liga dalam kesebelasan utama musim ini, kecewa dengan kesilapan yang dilakukan  pasukannya.

"Kami mengawal babak pertama, berasa selesa dan mempamerkan aksi bola sepak yang menarik," katanya.

"Namun, lawan bangkit dalam babak kedua dan kami seluruh pasukan cuai. Dalam Liga Perdana Inggeris, jika anda cuai, anda perlu menanggungnya dan itu yang berlaku."

Menjelang aksi getir berdepan City di laman sendiri, Sabtu ini, Sarri membuat keputusan untuk meletakkan Jorginho dan David Luiz di bangku simpanan sambil Mateo Kovacic dimasukkan dalam separuh masa kedua.

Namun, Loftus-Cheek menganggap situasi itu tidak boleh dijadikan alasan sambil menggesa pasukannya bangkit dalam pertemuan dengan pendahulu liga itu nanti.

"Kami berlatih setiap hari sebagai satu pasukan dan sepatutnya beraksi baik, tidak kira siapa yang beraksi," tambah Loftus-Cheek.

"Kami harus menerima kekalahan ini dan mengubahnya dengan pantas kerana kami berdepan aksi penting hujung minggu ini. Kami harus cepat bangkit.

"Seluruh pasukan sangat kecewa. Ia tempoh yang memerlukan kami berdepan banyak perlawanan dan meraih mata. Kami akan bangkit semula."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen