Pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek, mengakui dia perlu membuktikan kepada Maurizio Sarri bahawa dia memahami tuntutan taktikalnya sekiranya berhasrat merebut tempat di dalam pasukan.

Pemain berusia 22 tahun itu memulakan kempen musim ini dalam kemenangan 1-0 England ke atas Switzerland dalam aksi persahabatan semalam meskipun hanya bermain selama 33 minit dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Sarri mengambil alih peranan jurulatih di Chelsea daripada Antonio Conte.

Loftus-Cheek berharap untuk mencuri peluang dalam tempoh sibuk kelak apabila saingan Liga Europa membuka tirai minggu depan dengan bertandang ke PAOK, lima hari selepas bertemu Cardiff City di laman sendiri.

Bagaimanapun, dia mengakui harus bertindak cepat dengan kaedah Sarri sekiranya berhajat merebut tempat.

"Terdapat banyak permainan yang akan menyusul, jadi saya fikir akan ada lebih banyak peluang untuk pemain yang tidak bermain pada setiap minggu," katanya. "Bagaimanapun, saya tidak pasti bilakah saya akan diturunkan. Saya hanya perlu bekerja keras dalam latihan.

"Banyak permainan membabitkan saya berlandaskan corak permainan fizikal dan jelas sekali saya tidak berada di tahap terbaik ketika berdepan Switzerland tetapi saya akan terus membinanya.

"Saya kerap bercakap dengan Sarri sejak beberapa minggu lalu dan dia memberitahu bahawa saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan taktikalnya dan cara beliau dalam latihan. Semakin cepat saya mendapat peluang itu, maka lebih besarlah peluang untuk saya bermain."

Sekiranya dia tidak mendapatkan tempat dalam perancangan Sarri, Loftus-Cheek bercadang untuk dipinjamkan kembali ke Crystal Palace, di mana dia menghasilkan prestasi mengagumkan pada musim lalu.

"Mungkin, tetapi langkah itu masih jauh," katanya. "Masih banyak perlawanan lagi dan saya hanya perlu melihat apa yang berlaku.

"Buat masa ini, saya berada di Chelsea dan tumpuan saya adalah di Chelsea dan belajar di Chelsea. Mengenai masa depan pula, kami akan berurusan dengannya pada masa yang sesuai," katanya lagi.